Shanghai Shenhua Tawarkan Ighalo RM2.2 Juta Seminggu Agar Tak Pindah Ke United Secara Tetap

Odion Ighalo ditawarkan kontrak baharu yang sangat mewah oleh Shanghai Shenhua. Ini untuk menghalang pemain tersebut meminta perpindahan tetap ke Manchester United.

Sebelum ini Ole Gunnar Solskjaer menyatakan Man United tidak menutup pintu kepada Odion Ighalo untuk menyertai mereka secara tetap.

Oleh sebab itu, Shanghai Shenhua mahu Ighalo memberikan komitmen kepada mereka dengan menawarkan gaji £400,000 seminggu ataupun sekitar RM2.2 juta — dengan kontrak lanjutan 2 tahun lagi.

Tempoh pinjaman pemain itu di Old Trafford akan berakhir pada 30 Mei. Namun United mahu melanjutkan lagi kontrak itu kepada sebulan lagi kerana koronavirus.

Jika Shanghai Shenhua tidak menerima permintaan United itu, kemungkinan besar The Red Devils akan mengaktifkan klausa pembelian tetap untuk pemain itu.

Kontrak semasa Ighalo dengan Shanghai Shenhua akan berakhir pada 2022.

Tetapi buat masa ini, Ighalo hanya fokus dengan Man United – kelab yang beliau sokong sejak kecil lagi.

Malah Ighalo menganggap perpindahan pinjaman ini ibarat impian menjadi kenyataan. Apatah lagi kalau Ighalo diberikan peluang untuk bermain sebagai pemain sepenuh masa di Old Trafford.

Gaji lumayan Ighalo

Odion Ighalo telah menerima pemotongan gaji sekitar £30,000 daripada gajinya di China dengan menyertai Man Utd.

Di mana, gaji seminggu beliau di China pada kontrak semasa dilaporkan £300,000 seminggu.

Sebaliknya di Old Trafford, gaji Ighalo adalah £180,000 seminggu. Beliau menerima pemotongan 40% daripada gaji beliau di China – bersama Shanghai Shenhua.

Tetapi ada klausa bonus prestasi di dalam kontraknya. Iaitu, bonus untuk setiap gol yang beliau jaringkan.

Untuk setiap gol yang beliau jaringkan Odion Ighalo akan mendapat £8,000 tambahan. Itu bersamaan dengan sekitar RM41,000.00.

Begitu juga dengan bonus untuk setiap kemenangan Ighalo akan mendapat tambahan £9,000 ataupun sekitar RM46,000.

Di mana Odion Ighalo sudah boleh memiliki sebijik Myvi kalau di Malaysia. Dan jika beliau skor 1 gol dan menang dalam perlawanan yang sama, maka Ighalo akan mendapat £17,000.

Sejak menyertai Man Utd, nafsu menjaringkan gol Ighalo sangat tinggi. Beliau telah menjaringkan 4 gol setakat ini bersama dengan Red Devils.

Daily Mirror melaporkan Ighalo sudah mendapat bonus £32,000 setakat ini, bersamaan dengan sekitar RM163 ribu, hanya daripada bonus gol yang beliau ledak setakat ini.

Odion Ighalo menjadi pembelian mengejutkan ramai pihak pada Januari lalu oleh Ole Gunnar Solskjaer. Man Utd terdesak mahukan seorang penyerang no.9 selepas kecederaan Marcus Rashford.

Pada masa yang sama United sudah melepaskan Lukaku dan Alexis Sanchez pada awal musim tanpa ada pengganti.

Man Utd dikaitkan dengan beberapa penyerang lain termasuk Edinson Cavani dan Erling Braut Haaland. Namun mereka gagal memeterai pernjanjian tersebut.

Lalu, opsyen alternatif mereka adalah dengan mendapatkan Odion Ighalo daripada kelab Liga Super China.

Ketika tiba di Man Utd, Odion Ighalo terpaksa berlatih sendiri kerana tak dibenarkan menyertai kem musim sejuk di Sepanyol.

Ini kerana ketika itu koronavirus mulai merebak. Ighalo turut dikurantin selama 14 hari sebelum boleh memulakan aksi bersama dengan Man United.

Selain daripada gol, beliau juga mendapat bonus prestasi menerusi keputusan di atas padang. Untuk setiap kemenangan dicatatkan oleh Man Utd bersama dengan Ighalo, beliau akan mendapat £9,000 dan seri akan mendapat £3,000.

Tetapi klausa ini hanya terpakai pada aksi Liga Perdana Inggeris sahaja.

Seterusnya, beliau juga akan mendapat bonus lumayan jika membantu Man Utd mara ke Liga Juara Juara Eropah pada musim hadapan.

Odion Ighalo sebelum ini pernah bermain untuk pasukan Watford di England. Jadi beliau tiada masalah dengan menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris.

Beliau sangat cepat mendapatkan rentaknya bersama dengan Man Utd.

Sasaran utama Man United adalah mahu kembali semula ke pentas Liga Juara Juara Eropah pada musim hadapan. Jika tidak, United akan berdepan dengan tekanan tambahan.

Ini kerana pemilik kelab sudah menyatakan bahawa, mereka perlu ke UCL.

Dan kini hidup Ighalo penuh dengan keindahan. Beliau boleh memilih untuk kekal di Old Trafford jika terus cemerlang — dengan menerima tawaran tetap.

Jika pun beliau gagal untuk menambat hati Red Devils untuk menjadikan beliau pemain mereka secara tetap, Ighalo masih ada tawaran bernilai £400,000 seminggu di China.

Baca yang lain