‘Sila Ikut SOP, Jangan Jejaskan Periuk Nasi Kami’

Share on facebook
Share on twitter

SHAH ALAM, 27 Julai  — Semua pihak terutamanya yang terlibat secara langsung dalam industri bola sepak, diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, supaya tidak menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka yang terlibat dalam industri sukan nombor satu negara itu.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan berharap, pelbagai pihak tidak mengambil mudah mengenai SOP bagi mengelak kes wabak COVID-19 meningkat, sehingga memaksa penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual bersambung semula pada 26 Ogos ini.

“Janganlah yang memakai ‘pink strap’ (gelang perintah pengawasan) pun boleh pergi minum kopi dan kedai makan. Saya berharap kerajaan terus bertegas. Bagi pemain Selangor, saya sentiasa mengingatkan mereka patuhi SOP dan larang mereka lawat kawasan yang mempunyai ramai orang.

“Ini periuk nasi kita, kita kena jaga. Jangan sampai pemain kena (COVID-19), liga ditangguhkan. Kita kena jaga industri bola sepak kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan skuad Selangor di padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Berikutan itu, Sathianathan hanya memberi cuti dua hari sempena sambutan Aidiladha pada Jumaat ini, kepada pemain skuad Gergasi Merah beraya dengan keluarga, sekali gus mengurangkan risiko dengan mengelak pemain melawati tempat tumpuan ramai.

Sebelum ini, semua pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan pasukan Kuching FA, diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pemain pasukan itu, yang bertugas di sebuah hospital disahkan positif virus itu dan diklasifikasikan dari Kluster Hospital Sentosa.

Sementara itu, Sathianathan mengesahkan Selangor bakal mengharungi enam perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan bermula 2 Ogos, sebelum Liga Super disambung semula.

“Kita akan beraksi menentang pasukan yang bukan beraksi di Liga Super seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (dari Liga Premier), serta pasukan yang kita dah lawan dalam perlawanan liga musim ini seperti Terengganu.

“Perlawanan persahabatan ini akan berlangsung di tempat sendiri dan lawan,” kata pengendali skuad kebangsaan berusia 62 tahun itu.

Beliau menjelaskan semua pemain skuad Merah Kuning cergas untuk beraksi, kecuali penyerang import dari Sepanyol Rufino Segovia, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sejak tahun lepas, dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam empat aksi musim ini, sebelum liga ditangguh sejak 16 Mac lepas.

Selangor kini berada di kedudukan kelima Liga Super 2020, selepas mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.

— BERNAMA

Baca yang lain