Song Hye-Kyo: Kisah Ratu Hallyu Yang Bertahta Merentasi Dekad

Song Hye Kyo bukan nama asing bagi peminat drama terutama sekali K-drama. Malah jika korang bukan peminat Drama Korea sekalipun, nama ini mungkin anda kenali.

Kemampuan Song Hye Kyo berlakon dan menjayakan watak dalam banyak drama bersiri menjadikannya sebutir permata yang tiada gantinya.

Antara drama yang hits daripada Full House (2004) sehinggalah ke Descendants of the Sun (2016).

Namun, kejayaan dan kehebatan Song Hye Kyo tetap dibayangi oleh kisah perceraian dengan aktor terkenal Song Joong Ki.

Song Hye Kyo merupakan artis yang lahir pada 22 November 1981. Beliau menggunakan nama pentas yang sama dengan nama sebenarnya.

Wanita kelahiran Daegu ini merupakan antara pelakon yang telah merangkul banyak anugerah termasuk di Baeksang Award yang dianggap sebagai Oscar di Korea Selatan.

Hye Kyo memulakan karier lakonan pada lewat 90-an dan kemudian menguatkan namanya pada awal 2000-an. Beliau antara nama penting yang mencetuskan trend Korean Wave (hallyu) ke luar Korea.

Lakonannya dalam Autumn in My Heart/Endless Love (2000) telah menjadikannya meletup tiba tiba. Ini diikuti drama mega dengan Rain iaitu Full House (2004).

Dua drama itu antara drama yang mencetuskan gelombang K-drama di Malaysia.

Pada tahun 2016, wanita lulusan Universiti Sejong ini kembali berlakon dan menggegarkan dunia dengan lakonannya dalam Descendants of the Sun yang menjadi hits di seluruh dunia sekaligus menjadi pembuka trend hallyu generasi ketiga.

Agak menarik kerana Song Hye Kyo memang komited kepada drama walaupun ada beberapa projek filem sepertidalam filem Hwang Jin Yi (2007), My Brilliant Life (2014), dan The Queens (2015).

Selain daripada menempa nama di Korea Selatan, Hye Kyo juga antara artis yang diiktiraf di luar negara termasuk oleh majalah Forbes.

Beliau turut beraksi dalam beberapa produksi luar negara seperti Make Yourself At Home (2008), The Crossing I (2014) dan II (2015).

Bukan sahaja aktif berlakon, malah Song Hye Kyo seorang yang berjiwa patriotik. Beliau pernah terlibat dalam projek memberikan buku percuma tentang sejarah Korea berjudul The Story of Our History Abroad, The Kyoto Edition. Ianya sebagai langkah memperkasakan semangat nasionalisme di kalangan generasi baharu.

Malah Song Hye Kyo pernah secara diam-diam menolak kontrak iklan ratusan juta Won dari Mitsubishi karena adanya sejarah hitam di antara dua negara. Namun Hye Kyo enggan menghebohkannya.

Keluarga

Song Hye Kyo sangat tegas dalam privasi keluarganya. Sangat sukar untuk media mendapat tahu informasi keluarganya.

Dia hanya berkongsi kisah dia sahaja, tentang kehidupannya semasa kecil. Di mana ketika kecil dia seorang kanak kanak yang berpenyakit, sehingga satu ketika ibu dan ayahnya menyangkakan mereka sudah kehilangan puteri mereka ketika lahir.

Ibu dan ayahnya tak mendaftarkan kelahirannya pada 22 November 1981 kerana ketika itu mereka menjangkakan Hye Kyo tiada harapan untuk hidup.

Namun ternyata takdir Hye Kyo sudah tertulis bahawa dia akan menikmati kehidupannya. Oleh itu tarikh lahirnya didaftar pada 26 Februari 1982.

Hye Kyo paling kanan

Beberapa tahun kemudian, ibu dan ayahnya bercerai. Song Hye Kyo tinggal bersama ibunya di wilayah Gangnam, dan kadangkala dia akan menemani neneknya.

Jika korang pernah melihat dia beraksi meluncur ais dalam Full House, itu memang salah satu kepandaiannya. Dia dari kecil gemarkan sukan itu.

Dan salah seorang jurulatihnya pernah menyatakan, jika Hye Kyo serius dalam sukan itu, dia senang senang sahaja menjadi atlet profesional sukan ice skating.

Hye Kyo sangat mementingkan pelajaran. Dan dia belajar sehingga ke Universiti. Dia graduasi di Universiti Sejong.

Pada 1996, Song Hye Kyo telah menyertai ujibakat menjadi model dalam pertandingan SunKyung Smart Model Contest – ketika baru berusia 14 tahun.

Dia berjaya terpilih menjadi model baju seragam sekolah. Ketika usia belasan dia seorang yang agak chubby.

Hye Kyo mendapat watak kecil di dalam First Love (1995), White Night 3.98 (1998), dan beberapa siri yang lain.

Selepas itu, Song Hye Kyo mememangi Anugerah Pelakon Baru Wanita Terbaik menerusi sitkom Soonpong Clinic, How Am I?

Autumn In My Heart yang mengubah nasib Hye Kyo

Dari situ nasibnya mulai berubah dan dia mendapat tawaran besar untuk menjadi watak utama dalam drama Autumn in My Heart/ Endless Love.

Drama yang turut dibintangi oleh Song Seung Hoon dan Won Bin. Hye Kyo memegang watak Choi Eun Seo.

Drama itu menjadi hits termasuk di Malaysia, sekali dengan siri Winter Sonata yang mencetuskan Korean Wave / Hallyu di sini.

Malah ia menjadi titik tolak kepada kebangkitan drama Korea mengatasi drama Jepun dan Hong Kong.

Lakonan mantap dalam Autumn In My Heart membolehkan Song Hye Kyo memenangi 2 penghargaan di KBS Drama Award 2000 dan 2 penghargaan di 37th Baeksang Award 2000.

Semakin gah dengan Full House

Setelah fenomena Autumn In My Heart, Hye Kyo mengubah perwatakannya sebagai gadis ceria dalam Full House daripada seorang gadis yang penuh air mata dalam drama Autumn In My Heart, All In (2003) dan Sunlight Pours Down (2004).

Drama ini dianggap drama yang ringan dan tidak siapa menjangka ia akan meletup. Ini kerana ketika itu sangat banyak drama Korea yang rating tinggi. Tetapi ternyata persona Song Hye Kyo dan seorang lagi artis sedang meningkat naik sehingga ke global iaitu Rain telah memberikan magis.

Drama yang membuatkan korang dulu sanggup beli VCD burn sebab nak repeat kan?

Full House berjaya memenangi 4 penghargaan dalam KBS Drama Awards 2004 dan pencalonan dalam 41st Baeksang Awards.

Selepas menguatkan namanya sebagai ratu drama, Hye Kyo kemudian selektif dalam watak. Beliau muncul dalam drama yang menemukannya dengan balak dia ketika itu Hyun Bin (pelakon Secret Garden dan terbaru Crash Landing On You) dalam Worlds Within.

Tetapi drama ini tidak memberikan impak terlalu besar.

Hye Kyo kemudian bercinta dengan Hyun Bin, namun mereka putus kerana komitmen kepada kerjaya. Ianya memberikan kesan kepada kehidupan Hye Kyo yang dikatakan lama menutup pintu hatinya kepada lelaki.

Seperti biasa, Song Hye Kyo berehat panjang dari layar kaca dan hanya kembali pada 2013 dalam siri The Wind That Blows in The Winter (2013).

Terus bertahta

Drama ini menjadi hits dan memenangi banyak anugerah.

Masuk ke tahun 2016, Song Hye Kyo terlibat dalah projek mega drama Descendants of The Sun (2016) bersama dengan bakal laki dia selepas itu iaitu Song Joong Ki.

Walaupun pada awalnya dijangka akan menjadi drama yang gagal kerana dianggap kurang menarik. Namun Descendants of The Sun ternyata berjaya dan telah mencatatkan kejayaan luar biasa.

Ianya menjadi drama yang memecahkan pelbagai rekod ketika itu dan siri itu ditayangkan di lebih 32 buah negara.

Pada akhir tahun 2017, Song Hye Kyo dan Song Joong Ki mendirikan rumah tangg namun perkahwinan itu disembunyikan daripada umum.

Dan pada Jun 2019, Song Joong Ki mengumumkan bahawa dia dan Hye Kyo sah bercerai.

Itulah kisah ratu Hallyu – Song Hye Kyo. Beliau sudah berlakon dalam banyak sekali drama dan memiliki peminat di seluruh dunia. Beliau sudah berada di kemuncak sejak sekian lama.

Song Hye Kyo ratu Hallyu yang malar segar!

 

Baca yang lain