Statistik: 22 Pemain, Disebalik Kisah Pencapaian Felda United Di Liga Super 2016

Hanya 3 pasukan (yang tidak mempunyai kekuatan dan elemen penyokong negeri) mampu meraih kedudukan ke-2 Liga Super sejak pertandingan ini dibuka kepada kelab pada tahun 1998.

Tahun divisyen 2 mula diwujudkan dan ‘dicantum’ dengan divisyen 1 melalui proses promosi dan penyingkiran

Pasukan itu adalah Selangor Public Bank pada 2004 dan Melaka Telekom pada musim 2006. Felda United muncul pasukan ke-3 melakukannya pada tahun 2016.

Ini bermakna Irfan Bakti Abu Salim menjadi jurulatih tunggal meraih 2 kali kejayaan tertinggi membawa kelab mencabar liga melalui Telekom Melaka dan Felda United.

Disebalik pencapaian itu sudah pasti terdapat nama-nama pemain yang perlu diingati dan disimpan untuk dijadikan cerita pada masa hadapan.

Siapakah 22 pemain Felda yang bersama Irfan pada 2016.

Kubu

GK. Farizal Harun, 30

  • 21 penampilan

Felda United menamatkan kempen Liga Super (2013) dengan mengumpul 19 mata, terikat bersama T-Team.

Skuad Devan Kuppusamy itu tersingkir ke Liga Perdana kerana mempunyai perbezaan jaringan-bolos yang lebih sedikit.

T-Team (19-33) dan Felda United (13-35). Ia secara tidak langsung akan melibatkan barisan pertahanan dan penjaga gol.

Irfan membawa masuk Farizal Harun menggantikan Helmi Eliza Elias bagi mengemudikan benteng akhir pasukannya pada 2014.

Pada tahun 2016 ketika bersaing dengan pasukan besar di Malaysia, penjaga gol ini turun 21/22 kali, merekod 5 clean sheet dan 27 kali bolos.

Secara keseluruhannya, menjadi penjaga gol utama paling kurang bolos kerana di JDT Farizal Marlias dan Izham Tarmizi bermain secara bergilir.

Sementara itu Khairul Azhan Khalid dan Norazlan Razali juga dalam status penggiliran bersama Selangor.

Jadi, Farizal merupakan penjaga gol paling kerap bermain berbanding 2 pasukan pencabar utama pada ketika itu dan dia jauh lebih banyak memberi impak berbanding Helmi ketika bersama Felda di liga utama.

Penjaga gol ke-2: Suffian Rahman, 38. 1 penampilan

DR. Firdaus Faudzi, 29

  • 11 (4) penampilan

Pada awal saingan, pertahanan dari Johor, Hasni Zaidi Jamian merupakan pilihan utama Irfan, namun pemain ini gagal mengekalkan tempat selepas perlawanan ke-7.

Dia mengalami kecederaan dan hanya kembali pada 3 perlawanan terakhir ketika Felda United sudah hilang momentum. Hasni tidak mampu mengembalikan momentum apabila kalah 3 kali dalam 4 perlawanan.

Sementara itu, dalam 11 penampilan Firdaus sebagai pemain utama, dia berada dalam skuad yang menang 9 kali dan kalah 2 kali.

Secara rumusnya, Irfan mempunyai sedikit masalah dengan pemain utamanya (Hasni) dan Firdaus meraih peluang tersebut.

Firdaus bukan dalam status ‘rotation’ tetapi menggantikan pemain utama yang cedera, namun dia boleh dikatakan berjaya melakukan tugas dengan baik.

Pemain ke-2: Hasni Zaidi Jamian, 26. 9 penampilan

DL. Adib Aizuddin Latif, 30

  • 16 penampilan

Peristiwa yang paling diingati adalah layangan kad merah kepadanya ketika bertemu JDT di gelanggang sendiri.

Dia mengutip kad kuning ke-2 pada minit 62 dan Irfan perlu mengeluarkan Syamim Yahya, memasukkan Norfazly Alias bagi mengimbangi unit pertahanannya.

Namun Felda United tewas 1-2 pada perlawanan itu. Adib kembali pada perlawanan ke-5 dan terus membantu pasukan meraih 5 kemenagan dari 6 perlawanan seterusnya.

Pemain ke-2: Aizulridzwan Razali, 30. 6 (1) penampilan

DC. Shukor Adan, 37

  • 18 (3) penampilan, 1 gol
Walaupun berada dilewat karier, Shukor Adan masih sempat mengetuai pasukan memberi cabaran kepada saingan utama

Ini merupakan musim ke-3 Shukor bersama Felda United, agak tua tetapi dia adalah kapten pasukan yang mencapai rekod kelab ke-3 meraih kedudukan tertinggi dalam liga tempatan.

Skukor hanya terlepas 1 perlawanan ketika menentang Kelantan pada 4 Mei, pemain kelahiran Melaka ini menjaringkan gol tunggal semasa Felda United menang 3-0 ke atas Pahang.

Selepas pemergian Irfan, Shukor sempat bermain 1 musim lagi dibawah Sathianathan Baskaran bersama Felda United.

Norfazly Alias merupakan pilihan ke-2 jika Shukor tidak bermain atau digunakan sebagai pemain tengah defensif.

Norfazly menjadi pemain ke-2 menerima kad merah, juga ketika bertemu JDT pada perlawanan pusingan ke-2 liga di Larkin.

Pemain ke-2: Norfazly Alias, 35. 7 (3) penampilan

 

DC. Gilberto Alemao (Brazil), 26

  • 20 perlawanan, 1 gol

Bukan menjadi kebiasaan melihat pertahanan import berusia bawah 27 tahun menyertai pasukan-pasukan di Malaysia.

Pemain ini juga bukan dalam kategori penjaring gol dari situasi bola mati yang diperlukan oleh banyak pasukan.

Namun Gilberto berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, terlepas 2 perlawanan, salah satu darinya kerana penggantungan kad kuning.

Menjaringkan gol tunggal pada perlawanan ke-2 terakhir liga ketika terikat 3-3 dengan Sarawak. Dengan 3 nama Skukor, Norfazly dan Gilberto, Irfan tidak perlu mempunyai pertahanan tengah ke-4 bagi menyelesaikan musimnya.

Pemain ke-2: Tiada

Trio orkestra

MC. Lutfulla Turayev (Uzbekistan), 28

  • 17 penampilan, 7 gol

Diramalkan Sanjar Shaakmedov akan memberi impak dalam liga domestik pada musim ini, namun sebelum kehadirannya nama pemain Uzbekistan, Turayev terlebih dahulu muncul.

Pemain kunci Irfan tetapi sedikit ‘cacat’ apabila dia mengalami kecederaan selepas 15 perlawanan. Dia diketepikan dalam 5 perlawanan genting ketika Felda United perlu membuat pecutan akhir menyaingi JDT.

Kehilangannya agak dirasai apabila Felda United hanya mencatat 1 kemenangan sepanjang ketiadaanya, akhirnya Felda United tewas dalam persaingan merebut kejuaraan.

Walaupun kesemua 7 gol Lutfulla bukanlah jaringan kemenangan tetapi penglibatan pemain yang bertubuh ‘berat’ ini agak besar terutamanya percubaan dari luar kotak penalti yang padu.

Pemain ke-2: Sivanesan Shanmugam, 26. 1 (4) perlawanan

MC. Syahid Zaidon, 26

  • 17 penampilan, 1 gol

Selepas tamat program bersama Harimau Muda, pemain kelahiran Pahang ini seperti berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai salah satu pemain terbaik di Malaysia.

Menyertai Felda United pada 2014 ketika berusia 24 tahun dan menjadi pemain penting pasukan, tetapi nasib tidak menyebelahinya ketika kelab berada dibawah Sathianathan.

Dia mengenepikan Shukur Jusoh untuk mendapat posisi 3 pemain tengah Irfan. Jaringan tunggalnya berlaku ketika bertemu gergasi Malaysia, JDT.

Sudah pasti jaringan itu lebih senang dicari pada masa akan datang kerana nilai perlawanan itu tinggi.

Pemain ke-2: Shukor Jusoh, 27 tahun. 9 (5) penampilan, 1 gol

MC. Zah Rahan Krangar (Liberia), 31

  • 22 penampilan, 8 gol
Zah Rahan Krangar mempunyai banyak momen menarik bersama Felda United dibawah Irfan Bakti

Jika mahu mencari faktor terbesar dalam kejayaan Felda United 2016, Krangar adalah jawapannya.

Cergas sepanjang musim, berprestasi dan mampu menampung ketiadaan Francis Forkey Doe pada 2 perlawanan awal.

Pemain dari Liberia ini menyumbang 2 gol pada tempoh itu yang menghadiahkan 2 kemenangan awal pasukan, langkah pertama Felda United mengibarkan cabaran.

Dia hanya direhatkan 60 (16 + 44) minit dari 1,980 minit liga ketika bertemu Terengganu (4-1) dan Pahang (3-0).

Itu pun pasukannya sudah mendahului dengan selesa dan dia menyumbang gol dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Pemain ke-2: Tiada

Produk akhir

AMR. Christie Jayaselan, 30

  • 13 (2) penampilan, 2 gol

Bekas pemain sayap ATM ini merupakan pemain utama dengan Syamim Yahya hanya akan diturunkan jika dia mengalami masalah.

Jayaselan lebih spesifik di sayap kanan dan Syamim juga akan betindak mengisi kekosongan sayap kiri jika Hadin Azman terpaksa diketepikan.

Christie mempunyai 2 fasa kecederaan pada lewat Februari dan Ogos. Dia terlepas 7 perlawanan sepanjang tempoh itu.

Menjaringkan 2 gol pada April dan ketiadaannya pada 4 perlawanan terakhir melihat Felda United tewas 3 kali dari 5 kekalahan sepanjang musim yang dicatatkan pasukan ini.

Pemain ke-2: Syamim Yahya, 26. 12 (2) penampilan. 2 gol

AML. Hadin Azman, 22

  • 17 (2) penampilan, 6 gol
Hadin Azman menghabiskan fasa umur mudanya dengan perkembangan yang baik bersama Felda United

Pemain paling muda dalam barisan utama Irfan. Seorang pemain sayap yang mampu menjaringkan banyak gol dalam bandingan posisinya.

Hadin menjaringkan 2 gol penting ketika Felda United menewaskan T-Team 2-0 pada perlawanan ke-3. Bekas pemain JDT ini mengulangi sekali lagi ketika menamatkan sisa perjuangan P.Pinang (2-1).

Dia meneruskan momentum jaringan pada 2 musim seterusnya bersama Felda United dengan 12 gol dalam semua pertandingan.

Seperti Syamim, Ridzuan Abdonlah Pula tidak mempunyai posisi khusus sama ada sayap kiri atau kanan namun sering dimasukan dari bangku simpanan pada lewat 10 minit terakhir.

Pemain ke-2: Ridzuan Abdonlah Pula, 22. 2 (12) penampilan

SC. Francis Forkey Doe (Liberia), 31

  • 19 (1) penampilan, 14 gol

Penyerang ini menjadi pemain saat akhir dibawa masuk selepas penyerang utama Thiago Agusto mengala.mi kecederaan panjang.

Dengan 14 gol, Doe melakukan tugas dengan cemerlang. Prestasi penyerang ini tidak mampu membenarkan Agusto kembali ke dalam skuad utama dan pemain itu dipinjamkan ke Kedah.

Forkey Doe jauh mengatasi pencabarnya dari sudut menjaringkan gol secara berturut-turut.

Dia melakukan rentetan jaringan selama 8 perlawanan pada LS5 hingga LS11 dengan 9 gol dari 8 perlawanan.

Pesaingnya dari JDT, Juan Martin Lucero dan Pereyra Diaz hanya mampu melakukannya dalam 4 perlawanan.

Sementara itu rakan senegaranya di Selangor, Patrick Ronaldinho Wleh hanya melakukan jaringan dalam 3 perlawanan berturut-turut.

Agusto hanya mendapat tempatnya semula selepas pasukan beralih kepada Sathianathan pada tahun selepasnya.

Pemain ke-2: Bobby Gonzales, 32. 0 (2) perlawanan

Rumusan

Untuk melihat sebuah kelab yang tidak mempunyai elemen sokongan peminat negeri menjuarai liga utama, ianya belum berlaku dalam sejarah professional bola sepak negara.

Tetapi terdapat 3 kali pasukan berstatus sebegini menamatkan kempen di tangga ke-2.

Selangor Public Bank (2004), Melaka Telekom (2006) dan Felda United (2016). Lebih manis Irfan Bakti melakukannya 2 kali.

Jurulatih ini mempunyai kekuatan mampu membawa pasukan dan pemain yang tidak ternama dalam merekod kejayaan tersebut.

Jelas juga jurulatih ini tidak memerlukan ramai penyerang dalam senarainya jika dilihat ketika dia bersama Felda United atau Terengganu.

Tiada lebihan penyerang

Anda rasa kelab yang berada di tangga ke-2 merupakan satu pencapaian besar atau bagaimana?

Ya sudah pasti pasukan ini mempunyai kejayaan di peringkat akhir pertandingan piala, tetapi itu juga nombor 2 dan liga adalah pertandingan paling tinggi.

Baca yang lain