Stunner: Gerakan Pemusnah Stone Cold Yang Paling Popular

‘Stunner Stunner Stunner!’ Jerit audien di dalam arena.

Stunner oleh Stone Cold merupakan gerakan pemusnah yang dianggap antara yang terbaik dalam sejarah WWE oleh ramai penggusti dan juga peminat. Ianya gerakan yang selamat, cepat, boleh dilakukan pada sesiapa sahaja, dan apabila dilakukan dengan betul, ia kelihatan hebat.

Ianya juga diiktiraf gerakan paling popular dalam sejarah WWE. Membantu menaikkan jenama WWE itu sendiri pada eranya.

Mick Foley menjelaskan bahawa gerakan itu benar benar sensasi dan dilakukan daripada keadaan yang tak terduga.

Dalam sejarah gusti profesional, Stone Cold bukanlah yang pertama melakukannya. Namun dia adalah orang yang paling popular dan memahsyurkan gerakan itu. Sebab itulah gerakan stunner sangat sinonim dengan Stone Cold.

Foley berkata: “Stunner ni boleh berlaku entah dari mana secara tiba tiba.”

Shane McMahon melabel gerakan itu seperti ular orok orok yang boleh digunakan Stone Cold untuk mengeksekusi sesiapa sahaja lawannya.

Shane McMahon menjadi penggusti yang memiliki rekod paling banyak dikenakan stunner. Paling menarik Shane McMahon merupakan antara orang yang paling pandai membeli gerakan itu. Membuatkan peminat teruja dan sangat berpuas hati melihat Shane menggelupur dan melantun dengan mulutnya menyemburkan air seperti paus.

Stone Cold sendiri mengakui dia sangat suka melakukan aksi itu dengan Shane.

Steve Austin berkata: “Saya suka mengenakan stunner ke atas Shane. Sebab cara dia menerimanya.”

Shane dengan berseloroh menyatakan dia banyak kali dicurah bir oleh Stone Cold.

“Steve telah merosakkan banyak sekali baju saya,” jelas Shane.

Menurut penulis pakar WWE iaitu Mike Johnson, aura stunner itu terlalu kuat terutama sekali di dalam arena. Di mana setiap kali Stone Cold mengeluarkan jurus itu secara mengejut, maka orang di dalam arena seolah olah menjadi klimaks dan terus meletus.

Keupayaan Stone Cold membuatkan audien menjadi gila membuatkan dia sangat digemari oleh peminat WWE pada era kegemilangannya.

Stone Cold berkata: “Ianya gerakan yang meletus. Keindahan gerakan itu adalah, kamu boleh melakukan pemusnah itu ke atas sesiapa sahaja, tak kira berat, tinggi, atau apa sahaja. Semua orang boleh terkena.”

Asal usul

Bercerita tentang asal usul gerakan stunner itu, Stone Cold berkata ianya adalah idea daripada Michael Hayes. Seperti yang dinyatakan di atas, Stunner bukanlah gerakan yang dicipta oleh Stone Cold, tetapi konteks artikel ini adalah, asal usul stunner pada Stone Cold.

Menurut Michael Hayes, Stone Cold ketika itu mahukan sesuatu yang baharu dan segar selepas dia melakukan debutnya.

“Dia mahukan sesuatu yang segar, dan bertanya kepada saya: ‘Kau tahu tak gerakan pemusnah yang macam tu’.”

Selepas membuat debut dalam WWE, Steve Austine menggunakan Million Dollar Dream sebagai gerakan pemusnah. Stone Cold kemudian mahu mencari pemusnah yang lain untuknya.

Lalu dia mendapatkan pandangan Hayes untuk aksi gerakan yang lebih segar dan baharu.

Hayes berkata: “Dia mahukan gerakan pemusnah yang mudah dilakukan kepada semua orang dan efektif. Lalu saya datang dengan cadangan, apakata kau buat gerakan sepak bahagian bawah kangkang lawan, kunci mereka di sini [tengkuk], dan jatuhkan punggung kamu, dan hempas lawan di bahu kamu.”

Oleh sebab itulah Stone Cold menganggap gerakan itu tidak akan pernah wujud digunakannya jika tidak kerana Michael Hayes.

Dan pada 1996, Steve Austin akhirnya melakukan stunner buat pertama kalinya.

Setiap kali ada nama Stone Cold dalam kad pertarungan, para peminat akan menjadi teruja menunggu stunner tersebut.

Mike Henry: Dia satu satunya manusia yang lawan dia mahu di-stunner

Mark Henry menyatakan bahawa, berdasarkan pengalamannya, Stone Cold menjadi satu satunya penggusti di mana semua lawannya teruja mahu menerima gerakan pemusnah daripadanya.

Mark Henry berkata: “Steve mungkin satu satunya manusia dalam sejarah WWE di mana semua orang mahu menerima gerakan pemusnahnya untuk menunjukkan reaksi siapa lagi bagus ketika menerima stunner itu.”

Pada pendapat peribadi Stone Cold, penggusti yang paling ‘king’ dalam menerima stunner ialah The Rock. Di mana dia seringkali memberikan reaksi yang luar biasa.

Ini ditambah lagi dengan statusnya pada ketika itu yang merupakan wajah popular WWE. Antara aksi The Rock adalah berguling dan melantun di atas gelanggang.

Namun di sebalik gerakan itu, Steve Austin turut mendedahkan bahawa ramai juga rakannya yang menjadi mangsa salah sepakan dan terkena bahagian telur mereka. Antaranya Vince McMahon yang seringkali menjadi mangsa. Antara alasan yang membuatkan mereka tergelak adalah, Vince menerima sepakan di bahagian sensitifnya itu kerana ketika itu Stone Cold memakai seluar terlalu ketat dan tak boleh menyepak lebih tinggi.

Ketika Steve Austin bersara dia telah membawa stunner bersamanya sebagai sebahagian daripada hidupnya. Ini kerana kepuasan stunner yang sebenar adalah ketika Steve Austin melakukannya.

Jadi, bertuahlah peminat gusti yang pernah merasai sendiri detik terpacak depan tv melihat Stone Cold stunner lawannya.

Baca yang lain