Sudah Dikompaun Diarah Patah Balik Pula

4 lelaki yang cuba merentas negeri dari Selangor ke Terengganu (Besut) dan Kelantan telah ditahan polis.

Ketika mereka sudah terbayang kampung halaman dan penuh harapan akan dapat sampai. Namun bak kata bait lagu, semakin dekat semakin jauh pula jadinya.

Ianya kerana mereka telah diarahkan untuk berpatah balik ke lembah Klang.

Mereka ditahan di selatan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Perasing di Chukai.

Kesemua pesalah PKP itu berusia antara 20 hingga 37 tahun itu menaiki sebuah Proton Persona warna hitam ditahan polis pada 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepasukan pegawai polis telah menahan mereka dan meminta surat kebenaran rentas negeri.

Keempat empat lelaki tersebut gagal mengemukakan dokumen surat kebenaran rentas negeri yang sah.

Manakala pemandu kereta tersebut menyatakan dia menerima upah untuk menghantar tiga orang penumpangnya.

Polis melaporkan lelaki itu menerima upah sekitar RM350.00. Gilalah, drive dari Selangor ke Terengganu dan Kelantan upah besar tu. Lepas tu kena kompaun pulak.

Hanyan Ramlan berkata: “Pemandu terbabit mengaku terima upah sebanyak RM350 untuk menghantar tiga lelaki terbabit dan mengaku ditunjukkan surat tawaran bekerja daripada tiga lelaki itu sebagai alasan perjalanan mereka.”

“Anggota polis kemudiannya memeriksa surat tawaran terbabit dan selepas membuat semakan mendapati alamat tempat kerja yang tertera pada surat itu tidak wujud,” katanya kepada Harian Metro.

Hanyan menambah, kesemua mereka mengaku surat terbabit adalah surat palsu dan dibuat oleh abang kepada rakan mereka.

“Kesemua mereka mendakwa berjaya melepasi tiga SJR di Kajang, Gombak dan Bentong dengan menggunakan surat tawaran bekerja terbabit,” katanya.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun kepada mereka dan diarahkan untuk berpatah balik.

Kerajaan sudah mengenakan larangan untuk rentas antara negeri. Kecuali ada surat kebenaran.

Dalam beberapa hari ini beribu ribu kereta sudah cuba untuk merentas negeri dan diarahkan berpatah balik oleh polis.

Malah polis mengingatkan bahawa polis akan mengadakan pemeriksaan di rumah yang disyaki ada pihak yang merentas negeri hanya untuk berhari raya.

Langkah ini diambil bagi menyekat penularan wabak terutama sekali pada musim perayaan hari Raya.

Namun kedegilan sesetengah pihak itu membuatkan keadaan menjadi sukar dan jalan raya dilihat sesak teruk.

Sumber: Harian Metro

Baca yang lain