Sultan Johor Lantik TMJ Jadi Pemangku Raja Dan Kekal Kendalikan JDT

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja mulai hari ini (16 Jun).

Perkara tersebut diumumkan menerusi siaran media rasmi dari Istana Johor.

Baginda Tuanku Sultan bertitah demikian selepas berangkat pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini.

“Tunku Mahkota Johor dilantik sebagai Pemangku Raja mulai hari ini. Saya mahu berehat sekejap,” titah DYMM Sultan Johor.

Gelaran kehormatan bagi Pemangku Raja ialah : DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.

Tuanku Sultan Ibrahim turut bertitah mengumumkan Baginda berkenan supaya Tunku Mahkota Ismail terus menerajui dan mengendalikan pasukan bola sepak JDT bagi memartabatkan sukan itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

TMJ lepaskan beberapa kepentingan di JDT

Sebelum ini TMJ menyatakan bahawa dia akan melepaskan beberapa kepentingannya dalam pengurusan JDT. Namun masih kekal sebagai pemilik kelab.

Dalam kenyataan rasminya kepada JST, TMJ berkata: “Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.”

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua.”

Kemudian terdapat persoalan tentang status sebenar TMJ dengan JDT. Sudah tentunya ada yang mulai risau kalau kalau baginda angkat kaki kan?

Perkara itu mendapat perhatian daripada Alistair Edwards, selaku Pengarah Teknikal JDT.

Dia menjelaskan bahawa TMJ akan kekal menjadi pemilik JDT selaku pemegang saham terbesar dalam kelab.

Alistair Edwards berkata: “DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kekal sebagai pemilik kelab dengan memegang saham majoriti.”

Seterusnya Alistair memberitahu dengan lebih terperinci bahawa TMJ hanya melepaskan seketika urusannya dalam perkara berkaitan rundingan jual beli pemain serta kontrak.

Selain itu TMJ selepas ini akan kurang kerap berada di kompleks sukan JDT seperti yang beliau selalu lakukan. Di mana TMJ suka memantau sendiri pasukannya berlatih dan berinteraksi dengan staf dan pemain.

“DYAM Tunku Ismail akan melepaskan tugas Baginda berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada Pengurusan JDT, namun akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersil dan kewangan kelab.”

“Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Mahkota Johor tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya — yang mana menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini.”

“Perkembangan terbaru ini juga bermakna Baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang Baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung.”

“DYAM Tunku Mahkota Johor telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab.”

“Kami memahami bahawa Baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan Negeri dan Pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” jelas Alistair Edwards lagi.

Kekal kendalikan JDT

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar turut menitahkan TMJ agar terus kekal mengendalikan JDT bagi memartabatkan sukan bolasepak di
peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa, tegas kenyataan tersebut lagi.

Jadi, adakah ini bermakna TMJ akan kembali aktif dalam hal hal lebih teknikal seperti sebelum ini?

Apapun syabas dan tahniah kepada TMJ dan rakyat Johor.

Sumber: JST / Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Baca yang lain

Faisal Halim Disimbah Asid

Arena bola sepak Malaysia digemparkan dengan satu lagi kejadian jenayah melibatkan pemain kebangsaan. Kali ini melibatkan Faisal Halim yang diserang dan disimbah