TERKINI: Ozil Mendarat Di Turki Untuk Meterai Kontrak Bersama Fenerbahce

Masa depan Ozil bersama dengan Arsenal akhirnya menuju ke titik muktamad. Ini apabila perancang antarabangsa Jerman itu sudah tiba di Turki untuk memeterai perjanjian dengan Fenerbahce.

Fenerbahce memang dari awal menyatakan minat mereka kepada Ozil, namun sukar untuk memeterai perjanjian kerana gaji  Ozil yang terlampau tinggi.

Dilaporkan Ozil enggan menerima pemotongan gaji untuk baki kontrak tahun ini. Di mana beliau mahu Arsenal melunaskan baki gajinya pada separuh musim.

Ozil dijadualkan memperoleh sekitar £7 juta untuk separuh musim yang beliau tak bermain dan baki £7 juta lagi untuk baki separuh musim ini.

Bermakna pada musim hadapan barulah Ozil akan menerima penstrukturan gaji baharu yang dipercayai lebih rendah daripada musim ini.

Ozil sebelum ini diminta mencari kelab baharu. Namun beliau enggan berbuat demikian kecuali Arsenal menjualnya ke kelab yang mampu membayar gaji yang sama.

Dalam temubual dengan The Athletic, pemain tengah itu sebelum ini menyatakan hasratnya untuk kekal sehingga akhir kontraknya. Dia menjelaskan sedemikian kerana dia masih mahu bermain untuk Arsenal dan percaya bahawa beliau masih ada masa depan lagi bersama Arsenal.

Ozil dikeluarkan dari skuad Liga Perdana Inggeris dan Liga Europa untuk separuh pertama musim ini – keputusan yang dikatakannya tidak dimaklumkan kepadanya sehingga jendela perpindahan terakhir ditutup pada 5 Oktober lalu.

Pada ketika itu sangat sukar untuk Ozil keluar mencari kelab lain seperti diarahkan oleh Arsenal. Ozil juga menegaskan bahawa beliau hanya akan berpindah jika ada kelab membayar gajinya sama seperti yang beliau dapat di Arsenal.

Fenerbahce merupakan pasukan yang berada dalam persaingan mendapatkan Ozil. Dan pemain itu sendiri merupakan peminat tegar Fenerbahce.

Dalam sesi soal jawab di Twitter baru baru ini, Ozil turut menyatakan dia peminat tegar Fenerbahce dan mengiktiraf kelab itu sebagai kelab terbesar di Turki.

Ozil berkata: “Saya membesar sebagai peminat Fenerbahce dari kecil di Jerman. Semua kanak kanak Jerman-Turki akan menyokong satu pasukan bola dari Turki, ketika mereka membesar di Jerman. Dan saya sokong Fenerbahce.”

“Fenerbahce sama seperti Real Madrid di Sepanyol, kelab terbesar di negara Turki.”

Presiden Fenerbahce, Ali Koc juga turut mengesahkan bahawa mereka hampir untuk membawa Ozil ke kelab mereka.

“Biar saya beritahu kamu perkembangan terkini Mesut Ozil. Kami boleh katakan ia bakal menjadi perpindahan impian oleh Fenerbahce sekiranya direalisasikan.”

“Apa yang boleh saya katakan, ianya lebih hampir daripada sebelumnya. Mungkin dapat diselesaikan, mungkin tidak. Fenerbahce SK akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa.”

Namun beberapa hari lalu, laporan menyebut bahawa Mesut Ozil menolak untuk ke Fenerbahce jika gajinya tidak dikekalkan.

Semalam, Athletic mengesahkan bahawa Fenerbahce telah mencapai kesepakatan secara prinsipal untuk mendapatkan Ozil secara percuma – sebagai ejen bebas.

Ozil menjadi pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah Arsenal ketika menandatangani kontrak tiga setengah tahun baru pada tahun 2018, bernilai kira-kira £350,000 seminggu.

Sejak itu – terutamanya setelah berakhirnya era Arsene Wenger sebagai pengurus – penampilan beliau dalam kesebelasan utama menjadi semakin terhad. Termasuk di bawah Unai Emery dan kemudian Mikel Arteta.

Dia tidak bermain untuk Arsenal sejak 7 Mac 2020. Arteta mengesahkan bahawa Ozil tidak didaftarkan atas kehendaknya dan bukannya tekanan daripada pengurusan tertinggi kelab.

Fenerbahce pada awal pagi tadi waktu Malaysia memuat naik gambar Ozil tiba di Turki.

Twitter rasmi kelab berkata: Kelab kita telah membawa Mesut Ozil ke Istanbul untuk memuktamadkan proses perpindahan.

Pastinya ia detik yang agak menyedihkan ramai peminat Arsenal selepas sumbangan yang luar biasa Ozil ketika di prestasi kemuncaknya.

 

 

 

Baca yang lain

Tuchel Tuduh Pengadil Memihak Arsenal

Thomas Tuchel menuduh pengadil sebagai berat sebelah memihak kepada Arsenal. Ini selepas beberapa keputusan pengadil dianggap memihak Arsenal dan tidak kepada Bayern.