Tewaskan Liverpool, Bukti Arsenal Adalah Pesaing Kejuaraan Liga Sebenar

Liverpool berkunjung ke Emirates dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Arsenal mahu merampas semula kedudukan teratas liga, selepas Man City mencatat kemenangan pada aksi sebelumnya.

Belum sempat pun penyokong duduk, Arsenal sudah berada di hadapan pada minit pertama lagi. Atau lebih tepatnya hanya selepas 47 saat perlawanan bermula.

Ianya berpunca daripada serangan balas yang dicetuskan William Saliba selepas memenangi bola dari kawasan sendiri. Martin Odegaard melakukan hantaran licik mendapatkan Martinelli di kedudukan titik buta.

Arsenal kemudian melonggarkan tempo mereka selepas 15 minit aksi. Membuatkan Liverpool menjadi lebih dominan.

Hasil kerja keras dan kesabaran mereka, pada minit ke-34, Liverpool akhirnya mendapat gol penyamaan.

Luis Diaz menerima bola dari Trent Alexander Arnold. Diaz terus melorongkan bola rendah kepada Darwin Nunez yang terus menolak bola masuk dengan gaya tipikal no.9 klasik.

Liverpool terus cuba mencari gol kedua. Tetapi malangnya sebelum masuk ke bilik persalinan, Liverpool ketinggalan sekali lagi pada masa kecederaan. Kali ini Arsenal menyerang balas Liverpool selepas memenangi bola mati yang diambil Liverpool.

Martinelli melakukan gerakan genius dan lincah untuk mencipta assist kepada Bukayo Saka. 2-1 untuk Arsenal ketika melangkah ke bilik persalinan.

Bersambung separuh masa kedua, Arsenal seharusnya menjaringkan gol ketiga. Namun Odegaard mempersia siakan peluang keemasannya dengan percubaan rendah yang lemah dan terus diselamatkan Alisson dengan mudah.

Liverpool kemudian menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi pemain gantian, Roberto Firmino yang menerima hantaran lolos Diogo Jota dan menewaskan Aaron Ramsdale.

Firmino menjadi pemain The Reds pertama yang menjaringkan 10 gol ke atas Arsenal.

Selepas itu, Arsenal lebih bersemangat untuk memburu gol ketiga mereka. Xhaka mendapat peluang dari dalam kotak penalti tetapi rembatan derasnya tinggi.

Arsenal kemudian melakukan beberapa siri ancaman dan akhirnya memaksa Thiago membuat kesilapan dengan kekasaran ke atas Saka. penalti untuk Arsenal.

Bukayo Saka dengan tenang menewaskan Alisson Becker di gawang pada minit ke-76, dengan sepakan penalti deras dan mendatar.

Tiada tambahan gol terhasil selepas itu. Dengan Arsenal memberikan amaran jelas bahawa mereka adalah pesaing kejuaraan sebenar musim ini.

Hal ini kerana Liverpool adalah pasukan yang seringkali menjadi badi mereka. Kemenangan ini juga akan memacu moral Arsenal untuk lebih yakin lagi selepas ini.

Baca yang lain