TMJ Emosi Ucap Selamat Tinggal Buat Hariss Harun, Pemain Yang Sanggup Tolak Ke Eropah Demi Projek JDT

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ataupun TMJ, ternyata sebak kehilangan salah seorang pemain terbaik dalam sejarah JDT iaitu Harris Harun.

JST, laman sosial rasmi JDT mengumumkan pemergian pemain itu pada perpindahan pertengahan musim.

Pemain antarabangsa Singapura itu dilaporkan mencapai kesepakatan bersama dengan JDT untuk menamatkan kontrak. Ini kerana Hariss terpaksa meninggalkan JDT kerana mahu kembali ke Singapura.

Keluarganya di Singapura memerlukan Hariss ketika ini. Dengan situasi wabak yang berlaku ketika ini, amat sukar untuk Hariss untuk bergerak ke Malaysia dan Singapura lebih kerap.

Sumber dari Singapura juga menyebut, Hariss mempertimbangkan untuk menyertai kelab di Singapura untuk meneruskan karier bola sepaknya.

Hariss Harun bermain 197 kali untuk JDT dengan rekod 6 Liga Super, 1 Piala FA, 1 Piala Malaysia dan paling diingati adalah 1 Piala AFC.

TMJ tidak dapat menahan emosinya ketika melepaskan salah seorang pemain tengah terbaik dalam generasinya, di dalam sejarah Liga Malaysia.

Mana tidaknya, Hariss Harun sanggup menolak tawaran ke Portugal ketika itu untuk menyertai JDT yang masih serba serbi kekurangan dari segi fasiliti.

TMJ berkata: “Ketika permulaan projek ini pada 2013, saya tidak tahu banyak perkara tentang bola sepak tempatan. Saya mula lebih memahaminya pada 2014 dan sedar bahawa kelab ini tidak mempunyai seorang ‘defensive midfielder’ — tulang belakang kepada pasukan — dan itu adalah pemain pertama yang saya tandatangani pada 2014.”

“Saya bertemu pemuda ini dan memberitahu beliau tentang projek saya, aspirasi, serta apa yang tidak lengkap pada kelab dan bertanya seandainya beliau boleh membantu. Beliau sudah hampir ke Portugal ketika itu tetapi saya yakinkan beliau ke sini untuk memenangi kejuaraan.”

“Beliau bersetuju untuk bersama-sama dengan kami ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa. Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT telah menjadi sangat berjaya dan Harris Harun telah menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini.”

“Hariss, saya secara peribadi dan bagi pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya dalam karier anda. Anda sentiasa akan mendapat sokongan saya, sokongan kami dan anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari keluarga JDT, dan seorang legenda JDT.”

Hariss Harun turut merakamkan terima kasih dan selamat tinggal beliau kepada JDT.

Hariss berkata: “Selepas 7 setengah tahun, saya mengakhiri perjalanan yang tidak akan dapat dilupakan dalam karier bola sepak saya.”

“JDT lebih dari sebuah kelab, ia adalah sebuah keluarga yang memberi ruang dan peluang kepada saya untuk memperbaiki diri sebagai pemain bola dan sebagai individu. Saya akan senantiasa berterima kasih atas peluang untuk mewakili negeri Johor Darul Ta’zim.”

“Mengenang hari pertama saya di sini, sehingga kejayaan yang dimiliki kelab pada hari ini, saya merasa beruntung dapat menyaksikan transformasi JDT. Kenangan-kenangan yang akan bersama saya selamanya. Persahabatan yang terjalin dengan jurulatih, pegawai dan rakan sepasukan, saya belajar sesuatu dari setiap mereka.”

“Kepada penyokong JDT, saya memegang erat pada semangat dan sokongan yang tiada tandingnya, suasana alunan-alunan yang bersemarak di stadium Larkin dan kemudian di stadium Sultan Ibrahim adalah antara memori terindah bagi saya. Anda yang sentiasa memberi semangat kepada pasukan untuk memberikan persembahan dan permainan yang terbaik.”

“Kepada Boss TMJ, saya amat berterima kasih dan tidak akan dapat membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya ketika Tuanku membawa saya ke kelab dan memberi saya peluang untuk memimpin pasukan pada tahun-tahun terakhir saya di kelab.”

“Kepada rakan sepasukan dulu dan sekarang, saya akan merindui anda semua. Terima kasih atas semua kenangan. Terus terbang tinggi dan saya yakin anda akan membawa kejayaan ke kelab seperti selalu. ”

“Saya dengan bangga mengatakan bahawa sebahagian daripada diri saya akan sentiasa berwarna merah dan biru. Luaskan Kuasamu Johor! Sehingga kita berjumpa lagi.”

Selamat maju jaya kepada Hariss Harun pada fasa seterusnya dalam karier beliau. Ianya pasti kehilangan besar buat JDT.

Apa yang pasti, Hariss Harun akan diingati sebagai salah seorang legenda kelab.

Baca yang lain