[VIDEO] Bengkak Mata Richarlison Menangis Mengenangkan Impian Beraksi Di Piala Dunia Terancam Kerana Kecederaan

Bintang Tottenham Hotspur, Richarlison jelas beremosi semasa wawancara selepas perlawanan kerana kecederaan meletakkan impiannya untuk pergi ke Piala Dunia dalam keraguan.

Pemain Brazil itu bermula untuk pasukan Antonio Conte dalam pertembungan Liga Perdana Sabtu malam menentang Everton.

Bagaimanapun, dengan kedudukan 0-0 pada minit ke-50, Richarlison mengalami kesakitan di betisnya. Dia tidak dapat meneruskan permainan dan digantikan oleh rakan seperjuangan musim panas, Yves Bissouma.

Nasib baik buat Spurs, mereka berjaya memenangi perlawanan itu 2-0 selepas jaringan Harry Kane dan Pierre Emile Hojbjerg.

Menurut wartawan ESPN Brasil, Joao Castelo Branco, Richarlison disifatkan sebagai ‘tidak dapat ditenangkan’ ketika dia dirawat di bilik rawatan.

Dia memerlukan sokongan tongkat ketika meninggalkan stadium selepas aksi semalam.

Richarlison menangis

Pemain berusia 25 tahun itu jelas beremosi semasa wawancara selepas perlawanan. Matanya kelihatan bengkak kerana menangis. Jadi benarlah kata Branco, Richarlison memang tidak dapat ditenangkan ketika dia meratapi kecederaannya.

Dia berimpian beraksi di Piala Dunia sejak dari kecil. Dan Piala Dunia 2022 adalah sangat hampir dengannya. Dengan Richarlison seringkali menjadi pilihan kesebelasan utama Tite.

Richarlison memberitahu ESPN Brasil: “Ia agak sukar untuk dikatakan kerana ia begitu hampir untuk merealisasikan impian saya [bermain di Piala Dunia].”

“Saya telah pun mengalami kecederaan seperti ini, saya harap ia boleh sembuh secepat mungkin ataupun kurang [daripada sebelum ini]. Saya disisihka kira-kira dua bulan [kerana kecederaan serupa] di Everton.

Jika kecederaan Richarlison benar benar mengambil masa 2 bulan untuk sembuh, maka dia terpaksa melupakan impiannya beraksi di Piala Dunia bersama Selecao.

“Saya tahu sukar untuk bercakap sekarang, tetapi mari lihat, saya akan pulih. Isnin nanti saya ada ujian untuk dilakukan, tetapi berjalan pun sekarang terasa sakit. Sama sama kita tunggu perkembangannya,” jelas beliau lagi.

“Semuanya sangat dekat, kira-kira sebulan lagi, dan kami telah bersiap sedia, bekerja setiap hari supaya tiada perkara serius boleh berlaku. Malangnya, hari ini saya mengalami kecederaan betis ini, tetapi kini hanya menunggu, melakukan rawatan setiap hari supaya saya boleh pulih secepat mungkin.”

Ramai yang tumpang sedih melihat Richarlison benar benar emosional dalam temuramah tersebut.

Pengurus Spurs, Conte berkata selepas perlawanan: “Ya, pasti dia [dalam perancangan untuk] menentang Manchester United, pastinya. Dia merasakan sesuatu di betisnya dan dia tidak akan bersedia untuk perlawanan itu. Saya tidak tahu tetapi saya rasa dia memerlukan sedikit masa untuk pulih.”

“Sayang kerana kita sekarang ini bercakap tentang pemain yang memberikan kami banyak kualiti tetapi pada masa yang sama juga kuat dan dia meningkatkan keamatan kami.”

Walaupun ia adalah satu tamparan hebat jika Brazil kehilangan Richarlison, tetapi mereka sepatutnya tidak menghadapi masalah kerana pemain seperti Gabriel Jesus dan Roberto Firmino telah berada dalam prestasi yang baik untuk kelab masing-masing.

Brazil merupakan pasukan pilihan untuk memenagi Piala Dunia 2022 berdasarkan status mereka di ranking no.1 dunia ketika ini.

Adakah Richarlison akan sempat pulih? Bagi peminat Brazil, mereka terus berdoa agar pemain itu sempat sembuh dan kecederaannya tidak serius.

Baca yang lain