[VIDEO] Dokumentari Arsenal Papar Ketegasan, Kegarangan Arteta, Termasuk Detik Pecat Aubameyang Sebagai Kapten

Trailer rasmi dokumentari Arsenal All Or Nothing, kini telah dikeluarkan untuk memberi peminat gambaran tentang apa yang  boleh diharapkan daripada siri itu.

Arteta sering menunjukkan wajah tenang dan kelihatan tidak garang di garisan tepi dan di hadapan media, tetapi teaser dua minit itu menunjukkan bagaimana pengurus muda dari Sepanyol itu juga seorang yang mudah hilang sabar di bilik persalinan.

Rob Holding menyifatkan Arteta sebagai “sangat tegang” sebelum trailer menunjukkan Arteta yang menjerit ke arah pemain di bilik persalinan dan beberapa pemain kelihatan terkejut dan terpaku mendengar herdikan pengurus mereka.

Namun itu hanyalah sebahagian daripada proses untuk membentu Arsenal yang lebih bersemangat dan kental. Di padang latihan, Arteta seringkali berpelukan dengan para pemainnya.

Tetapi boleh dikatakan episod paling menarik yang semua peminat Gunners mahu lihat ialah bagaimana hubungan antara Arteta dan Aubameyang retak.

Pemain antarabangsa Gabon itu dinamakan sebagai kapten baharu Arsenal pada 2019 selepas Granit Xhaka dilucutkan captaincy oleh Unai Emery.

Apabila Arteta mengambil alih, dia mengekalkan Aubameyang sebagai kapten kelab. Dan ketika itu Aubameyang diyakinkan bahawa dia adalah nadi penting projek revolusi Arsenal di bawah Arteta.

Aubameyang yang mendapat tawaran daripada banyak kelab lain, terutama sekali kelab yang beraksi di UCL, akhirnya memilih untuk terus kekal dengan Arsenal.

Namun pada musim berikutnya, semuanya berakhir pada Disember apabila Aubameyang dihukum oleh kelab itu kerana satu lagi pelanggaran disiplin.

Dia tidak melapor diri ke kelab seperti yang diminta. Aubameyang ketika itu bercuti.

Selepas diketepikan daripada skuad Arsenal untuk menentang Southampton, Aubameyang tidak bermain untuk Gunners lagi sebelum dia pergi secara percuma untuk menyertai Barcelona.

Arsenal rela menamatkan kontrak Aubameyang atas persetujuan bersama.  Pada masa itu, Arteta enggan menjelaskan secara terperinci bagaimana hubungan itu terputus.

Tetapi siri ‘All or Nothing’ nampaknya bersedia untuk menjawab beberapa soalan tersebut dengan trailer menunjukkan klip pendek Arteta yang bercakap kepada pemain dalam satu pertemuan pasukan.

Dia berkata: “Kita telah memutuskan sebagai sebuah kelab bahawa dia [Aubameyang] bukan lagi kapten kita.”

Trailer itu kemudiannya menghala ke arah Alexandre Lacazette yang duduk di meja, walaupun tidak jelas sama ada ia adalah respon kepada kenyataan Arteta memecat Aubameyang.

Pemain Perancis itu hanya berkata: “Wah.”

Aubameyang kemudian dilihat meninggalkan kompleks kelab dengan keretanya.

Menurut laporan, selepas Arteta memberitahu Aubameyang bahawa dia bukan lagi kapten, pemain itu terus dikenakan penggantungan daripada beraksi. Arteta kemudian memutuskan untuk membekukan terus pemain itu.

Memintanya mencari kelab baharu kerana dia sudah tak diperlukan lagi di Arsenal.

Sebenarnya, itu bukan pertama kali Aubameyang melanggar arahan pengurus. Sebelum itu dia pernah terpaksa diketepikan daripada aksi Derbi London Utara kerana lambat datang ke perjumpaan pasukan.

Kemudian dalam trailer, nampaknya juga terdapat perselisihan pendapat di padang latihan dengan pemain terpaksa dileraikan antara satu sama lain.

Dokumentasi lapan bahagian akan dilancarkan secara rasmi pada 4 Ogos, dengan episod 1-3 akan dikeluarkan terlebih dahulu. Episod seterusnya akan ditayangkan setiap minggu sehingga 18 Ogos.

Saksikan trailer di sini:

Baca yang lain