[VIDEO] Nader Mohamaddi Melakukan Somersault Throw Sejauh 50 Meter, Dan Pernah Skor Terus

Korang mesti pernah dengar nama Nader Mohammadi bukan? Pemain yang pernah masuk portal BBC dan The Guardian tahun sebelum ini kerana satu kepakarannya iaitu melakukan lontaran somersault.

Terbaru, Nader Mohammadi kini dalam landasan terbaik untuk berada dalam Guinness World Record selepas melakukan lontaran ke dalam yang sangat jauh.

Beliau melakukannya dengan gaya lontaran somersault. Pemain berusia 23 tahun itu menjadi perhatian dunia walaupun pasukannya Paykan kalah di tangan Persepolis dalam Liga Pro Iran.

Pada lewat perlawanan, Mohammadi mencuri perhatian dunia dengan satu lontaran dari kawasan sendiri terus ke kawasan gol lawan.

Ianya memamksa penjaga gol untuk menolak keluar bola tersebut untuk memastikannya tidak menjadi ancaman gol. Beliau melakukan dari jarak lebih 50 meter.

Ini bukan pertama kali beliau melakukan lontaran seperti itu. Malah sebelum ini beliau pernah menjaringkan gol dari lontaran somersault pada Disember tahun lalu.

Lontaran Nader terus menuju ke gawang gol dan penjaga gol cuba menolaknya kerana tidak mahu ada pemain lain memenanginya.

Sebenarnya lontaran ke dalam tidak boleh terus masuk. Kerana secara praktikalnya kamu tidak boleh menjaringkan gol dengan tangan. Namun gol itu terjadi apabila penjaga gol ada melakukan sentuhan ke atas bola.

Lihat aksi Nader menewaskan penjaga gol Gol Gohar iaitu Alireza Haghighigot.

 

Pada Januari lalu, beliau sekali lagi melakukan hantaran sepanjang lebih 50 meter.

Kejadian di Piala Dunia 2018

Bukan semua boleh melakukan hantaran somersault seperti itu. Saya tahu, korang mesti teringat detik kelakar pada Piala Dunia 2018 di mana Milad Mohammadi – juga pemain Iran – melakukan somersault throw yang tidak menjadi ketika berdepan sepanyol.

Ianya berlaku pada minit ke-94 dan peluang terakhir Iran untuk menjaringkan gol. Milad mencium bola cuba melakukan lontaran somersault itu. Tetapi hampeh.

Selepas tamat perlawanan, wartawan bertanya kepada Rezaeian, rakan sepasukan Milad.

Wartawan: Apa yang Mohammadi cuba lakukan?

Rezaeian: Dia betul betul nak menjaringkan gol dengan cara itu.

Wartawan: Dia pernah buat sebelum ini?

Rezaeian: Biar saya bagitahu kamu, harap Milad tak kecil hati dengar apa yang saya katakan ini. Saya dah beritahu dia: ‘Milad, kalau kamu nak lakukan perkara seperti ini, kamu kena pastikan ia 110% akan menjadi, dan kamu harus banyak berlatih. Misalnya dalam latihan kamu kena lakukannya dengan berjaya sekurang kurangnya 5 kali.

Wartawan: Bila kali terakhir dia melakukannya

Sardar & Ramin (dua orang lagi rakan Milad): Rasanya 7 tahun lepas kot.

Pakar somersault throw dari Brazil

Kami terus teringat kisah seorang gadis yang pernah menggemparkan dunia satu ketika dahulu dengan teknik lontaran ke dalam dengan somersault throw ataupun front flip ini:

Ini adalah detik Leah menggemparkan dunia dengan lontaran ke dalam front flip yang mencetuskan gol ketika Brazil menentang Mexico dalam Piala Dunia B-20 pada 2008 di mana mereka menang 5-0.

Sebenarnya, teknik itu sudah menjadi rutin bagi gadis bernama Leah Lynn Fortune.

Leah Lynn Fortune, wanita misil ‘flip’

Leah Lynn Gabriela Fortune adalah pemain bola sepak profesional wanita yang lahir di San Paolo Brazil pada 13 Disember 1990.

Namun beliau membesar di Wheaton, Illinois, Amerika Syarikat mengikut ibu bapanya. Sebab itulah nama beliau langsung tak ada bunyi Brazil. Ibu dan ayahnya adalah orang Amerika Syarikat yang berada di Brazil ketika Leah dilahirkan.

Pada usia Leah 2 tahun barulah mereka kembali semula ke Amerika Syarikat.

Leah Lynn Fortune pernah disebut bakal menjadi Marta baharu dalam bola sepak Brazil kerana skil yang ada pada beliau.

Beliau bermain 2 musim di Amerika Syarikat dengan Texas Longhorn. Leah mencatatkan gol pertama dengan Texas pada 21 Ogos 2009 menentang TCU. Seminggu kemudian beliau mencatatkan assist pertama dalam kariernya.

Namun karier Leah Fortune dibayangi dengan kecederaan buku lali dan tidak bermain untuk baki saingan musim 2009. Beliau memerlukan rawatan rapi.

Leah kembali ke padang dan menjadi penjaring kemenangan menentang NC State di mana mereka menang 2-1.

Leah Fortune menjadi bintang bola sepak wanita yang digeruni. Beliau menjadi rebutan di antara Amerika Syarikat dan Brazil.

Namun memilih untuk mewakili Brazil, tempat kelahirannya. Ini kerana menurut Leah, bermain dengan pasukan Brazil beliau akan lebih banyak menghantar dan menerima bola di dalam padang.

Beliau mengakui agak kekok dan mencabar kerana beliau tidak pandai bercakap dalam bahasa Portugis.

“Saya tak pernah bercakap Portugis, jadi beberapa sesi latihan awal agak sukar.”

Beliau bermain 13 kaps untuk pasukan B-20 Brazil dan kemudian membantu skuad tersebut menjuarai Piala CONEMBOL B-20. Leah dipanggil mewakili B-20 Brazil dalam Piala Dunia B-20 pada 2008 dan 2010.

Beliau dipanggil mewakili skuad senior Brazil pada 2010 namun terpaksa berehat panjang kerana kecederaan ACL.

Beliau bersara awal daripada bola sepak dan menjadi pembantu pengurus di USC Upstate pada 2014 dan kini di Lipscomb. Leah adalah peminat Kaka.

Kepakaran utama beliau memang lontaran ke dalam yang deras. Setiap kali ada lontaran ke dalam berdekatan kawasan sepakan penjuru, penyokong termasuk penyokong lawan akan menyorak dan menantikan magis.

Beliau memberitahu:

“Saya melakukannya bukan kerana laparkan perhatian tetapi kerana teknik itu efektif untuk membantu pasukan.”

“Bola akan pergi lebih jauh dan ia seperti sepakan penjuru. Namun teknik itu bukan segalanya. Paling penting ia jadi efektif sebab rakan-rakan saya ada kualiti yang baik menunggu di dalam kotak penalti.”

Beliau menyatakan, dia tidak pernah mengalami kecederaan ketika melakukan teknik itu.

“Teknik ini agak merbahaya. Saya belajar daripada ayah saya sejak kecil lagi.”

Itulah kisah salah seorang pemain istimewa dalam sejarah bola sepak. Pemain istimewa yang dikenang kerana teknikal yang luar biasa. Ini adalah beberapa kompilasi lontaran ke dalam beliau dengan teknik front flip.

Baca yang lain