Wartawan Saudi Kritik Benzema Sebagai Tak Profesional

Karim Benzema dilaporkan buat hal lagi. Kali ini dia meninggalkan pasukannya dan juga terus meninggalkan Jeddah sebaik sahaja Al Ittihad kalah di tangan Al Nassr beberapa hari lalu.

Menurut laporan, Benzema turut tidak berlatih pada Jumaat lalu, dengan dia masih tidak memberikan sebarang alasan munasabah tentang ketiadaannya di kompleks latihan. Dia juga tidak memberikan sebab dia meninggalkan Jeddah.

Lebih mengejutkan dia telah memadamkan akaun Instagramnya yang sudah ada lebih 76 juta pengikut. Tidak pasti sama ada dia memadamkan secara terus atau sementara.

Benzema dikatakan benar benar kecewa dengan kekalahan di tangan Al Nassr yang turut diwakili rakan baiknya di Real Madrid iaitu Cristiano Ronaldo.

Oleh kerana tidak hadir ke latihan pada Jumaat. Dia juga tidak dapat dihubungi oleh kelab serta disahkan tiada di rumahnya di Jeddah.

Oleh itu, nama Benzema tidak ada dalam senarai skuad menentang Al Tai pada Sabtu. Namun Al Ittihad meminta penangguhan perlawanan itu ke tarikh 7 Februari kerana ada masalah dari segi penerbangan.

Al Ittihad masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan dengan Benzema. Termasuk pengurus kelab Marcelo Gallardo juga enggan memberikan komen tentang perkara itu.

Sebelum ini Benzema pernah dikritik media Arab Saudi sebagai tidak profesional kerana dia tidak berpuas hati tidak dipilih menjadi kapten. Dia juga mengecam taktikal pengurus terdahulu, Nuno Espirito Santo.

Pengurus itu kemudian dipecat kerana dianggap tidak menggembirakan hati Benzema. Walaupun kelab sebelum ini memuat naik video hubungan mesra Benzema dengan Nuno sebagai balasan kepada kritikan media.

Semalam Al Ittihad dikatakan telah memberitahu wartawan bahawa Benzema sebenarnya diberikan pelepasan khas untuk meninggalkan Jeddah bagi merawat kecederaan yang dia alami ketika menentang Al Nassr.

Namun kelab tidak mendedahkan pula di mana Benzema mendapatkan rawatan itu.

Mundo Deportivo melaporkan bahawa hubungan Benzema dengan Al Ittihad tiada masalah. Dan pemain itu masih komited dengan kontraknya.

Namun begitu Benzema mulai menjadi sasaran media dan segelintir peminat pasukan mereka yang meminta Benzema berambus sahaja jika dia merasakan dirinya lebih besar dari kelab.

Mereka agak pelik dengan tindakan Benzema selepas kalah di tangan Al Nassr. Kemudian kelab tiba tiba menyatakan dia diberikan pelepasan khas.

Wartawan sukan Arab Saudi, Abdel Karim Al Jasser dengan terbuka menyatakan: “Dia mungkin ada perbalahan dengan kelab, namun itu tak boleh dijadikan alasan. Hakikatnya dia sendiri tidak mahu mencuba dalam perlawanan itu, membuang banyak peluang keemasa.”

“Dia seperti sudah hilang semangat untuk bermain bola sepak.”

 

Baca yang lain