Werner, Abraham, Ziyech: Kombinasi 44 Gol Dan 21 Bantuan. Chelsea Bakal Padu?

Chelsea memancung rundingan Liverpool bagi membeli Timo Werner apabila menawarkan gaji sebanyak £ 200,000 seminggu.

Sejak semalam (Khamis), terdapat banyak laporan di England dan Jerman mendakwa Werner telah bersetuju secara lisan menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan £ 50 juta.

Timo Werner: 25 gol dan 6 bantuan

Pada mulanya pemain Jerman ini seakan-akan ditakdirkan menyertai Liverpool. Lebih-lebih lagi Werner memberi kenyataan terbuka tentang kekagumannya terhadap Jurgen Klopp.

Bagaimanapun Liverpool dilihat lambat dan teragak-agak membuat keputusan sehingga membuka peluang kepada Chelsea memancung mereka.

Menurut laporan dari ESPN, Chelsea telah berjanji menjadikan Werner salah seorang pemain yang akan menerima gaji tertinggi dalam sejarah kelabnya.

Werner ditawarkan gaji sekitar £ 10 juta setahun atau bersamaan £ 200,000 seminggu.

Jumlah ini bakal meletakkannya berada di tangga ke-2 penerima gaji tertinggi di belakang N’Golo Kante yang dipercayai menerima £ 220,000 seminggu.

Chelsea kini akan mengaktifkan klausa pelepasan yang terdapat dalam kontrak Werner yang bernilai £ 49 juta.

Sementara itu Liverpool dilihat tidak memberi respon dalam persaingan mendapatkan Werner dan muncul beberapa laporan mengatakan The Reds tidak dibenarkan berbelanja besar.

Laporan itu menyebut pemilik kelab menolak sebarang pembelian besar kerana kesan wabak coronavirus boleh menjejaskan kewangan kelab.

Sebelum itu Klopp juga tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap Werner dan mahu membeli pemain ini untuk memberi saingan dan sokongan kepada Roberto Firmino.

Namun pandemik coronavirus telah merencatkan perancangan Klopp. Walaupun sejak kebelakangan ini Liverpool meraih banyak kejayaan, namun kewangan mereka tetap terjejas.

Liverpool cuba bermain dengan masa dengan harapan dapat membeli pemain ini dengan harga yang lebih murah tetapi Leipzig tidak mahu mengalah.

Akhirnya kelab Jerman tiu dapat harga yang dimahukannya, melalui Chelsea.

Tammy Abraham: 13 gol dan 3 bantuan

Chelsea mempunyai lebih wang kerana mereka dilarang membeli pemain baharu pada 2 jendela perpindahan lepas.

Dari segi kewangan, ia memberi kelebihan kepada pasukan dari London itu dan kehadiran Werner mampu memberi lonjakan besar ketika mereka juga sudah berjaya mendapatkan seorang lagi pemain bernama besar iaitu Hakim Ziyech.

ANALISIS

Werner merupakan seorang pemain penyerang sayap. Kebanyakkannya dia bermain di sebelah kiri. Namun dia juga boleh bermain di posisi penyerang tengah.

Pemain berusia 24 tahun ini mengumpul 25 gol sepanjang musim ini bersama Liepzig. Dia juga mencipta 7 bantuan gol dalam 29 penampilan.

Chelsea pula masih terasa dengan kehilangan Eden Hazard yang berpindah ke Real Madrid. Christian Pulisic masih memerlukan masa bagi membuktikan kemampuannya, sementara itu Willian bakal mencecah usia 32 tahun.

Chelsea terlalu bergantung kepada Tammy Abraham bagi mencetuskan ancaman di dalam kawasan lawan. Apabila pemain ini buntu, Chelsea akan bermasalah.

Werner mampu memberi lebih ancaman apabila berada disisi Abraham.

Hakim Ziyech: 6 gol dan 12 bantuan

Hakim Ziyech melengkapkan trio serangan Chelsea pada musim hadapan. Pemain sayap ini bermain 21 kali -sayap kanan- bersama Ajax dengan menyumang 6 gol dan 12 bantuan.

Jadi Chelsea bakal mempunyai 2 pemain sayap kiri dan kanan yang menjaringkan 31 gol dan 19 bantuan. Jumlah ini menjadi 44 gol dan 21 bantuan jika dicampur sekali dengan Abraham.

Ia merupakan berita yang baik kepada para penyokong Chelsea.

Baca yang lain