Willian Tuding Arsenal Punca Prestasinya Merosot Kerana Dah Tak Seronok Main Bola

Peminat Arsenal pastinya sangat kecewa dengan kenyataan Willian yang menyifatkan bahawa Arsenal sebagai punca kenapa dia mulai tidak seronok bermain bola sepak dan berlatih.

Willian turut menyatakan bahawa, menyertai Arsenal merupakan satu kesilapan yang harus dibayar dengan nilai jutaan dollar. Merujuk kepada pengorbanan Willian yang sanggup menamatkan kontrak lumayannya dengan Arsenal demi meninggalkan kelab itu dan menyertai Corinthians di Brazil.

Willian mendedahkan bahawa, pada awalnya, dia sangat bermotivasi ketika menyertai Arsenal dan melakukannya dengan baik sekali dalam proses menyesuaikan diri dengan kelab baru, suasana baru, rakan barau dan sebagainya.

Willian ketika itu yakin bahawa ini adalah projek yang bagus dan tepat untuknya.

Namun malangnya, hanya selepas 3 bulan di Arsenal, Willian menyesali keputusannya dan meminta ejennya melakukan apa sahaja untuk membantunya keluar dari Arsenal.

Willian sebelum itu bermain untuk seteru sebandar Arsenal iaitu Chelsea. Beliau beraksi 399 kali untuk The Blues dalam masa tujuh musim.

Namun Chelsea enggan menuruti permintaan Willian yang mahukan 3 tahun kontrak. Chelsea awalnya menawarkan setahun kemudian cuba menawarkan Willian kontrak 2 tahun.

Malang sekali Willian menolaknya kerana beliau sudah ada tawaran 3 tahun dari Arsenal dengan gaji ditawarkan GBP200k seminggu.

Willian dengan beraninya ketika itu memberitahu dia sanggup menyertai kelab London kerana mahu terus tinggal di London bersama keluarganya.

Tetapi selepas itu Willian berusaha meninggalkan London, kerana Arsenal!

Arsenal satu satunya kelab datang dengan tawaran 3 musim dan gaji seperti diminta Willian iaitu £200,000 seminggu. Arsenal mendapatkan Willian secara percuma.

Selepas permulaan yang baik, Willian bertukar menjadi pemain yang tidak konsisten. Beraksi 37 kali sahaja untuk Arsenal dengan 1 gol dan 7 assist.

Kebanyakan gol dan assist dicatat pada awal musim. Kemudian Willian merosot persembahannya. Willian menyalahkan Arsenal sebagai puncanya.

Arteta beberapa kali mempertahankan Willian dan memuji pemain itu sebagai pemain penting dalam pasukannya. Mungkin dia tahu Willian perlukan keyakinan semula.

Bercakap kepada legenda Manchester United, Rio Ferdinand, Willian berkata: “Saya tidak gembira, sebab itu saya tidak bermain dengan baik. Saya tidak mahu menjelaskan secara terperinci, tetapi saya tidak gembira,” kata Willian kepada Ferdinand di Presents FIVE.

“Jadi apabila saya tiba di sana saya gembira, dari mula saya bermotivasi, saya mahu melakukannya dengan baik, kelab baru, kawan baru, projek baru.”

“Selepas tiga bulan, saya memberitahu ejen saya, ‘Tolong, saya mahu berambus.’ Saya tidak mahu bercakap buruk tentang kelab kerana ia adalah kelab besar, mempunyai sejarah besar dalam bola sepak, pemain besar bermain di sana.”

“Tetapi ia masih tidak berjaya [memujuk hati] saya, sudah tentu ia adalah masa yang paling sukar dalam kerjaya saya.”

Walaupun gajinya di Arsenal sangat tinggi berbanding dengan yang beliau terima di Brazil ketika itu, namun Willian menegaskan bahawa dalam hidupnya, wang bukan segala galanya. Yang penting kebahagiaan dan keseronokan.

“Ya, ianya satu jumlah wang yang besar yang saya korbankan – wang bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup, anda perlu gembira, berseronok dan bangun dan terasa mahu pergi ke pusat latihan.”

“Saya tidak menikmati semua itu ketika di Arsenal, jadi saya berkata kepada diri sendiri, bersama keluarga dan isteri saya, ‘Saya tidak boleh terus kekal di sini, saya tidak gembira di sini, saya perlu pergi dan mencari jalan keluar untuk meninggalkan kelab.”

“Bagi saya, adalah tidak adil untuk terus kekal di tempat yang anda tidak mahu tinggal hanya untuk wang.”

Baca yang lain