Detik Rafa Benitez Cuba Menjual Xabi Alonso Dan Dapatkan Gareth Barry

Mungkin penyokong Liverpool ada beberapa pendapat yang berbelah bagi dengan beberapa keputusan dibuat Rafael Benitez sepanjang berada di sana.

Pengurus asal Sepanyol ini membawa Liverpool menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara dalam musim debut di sana dan kemudian memenangi Piala FA pada musim keduanya.

Musim berikut, Liverpool di bawah kendalian Rafa Benitez sekali lagi layak ke final Liga Juara-Juara namun tewas di tangan pasukan yang mereka kalahkan pada tahun 2005 iaitu AC Milan.

Musim 2008/09, Benitez hampir memenangi trofi Premier League bersama Liverpool, cuma ketika itu juga Manchester United masih lagi sebuah pasukan yang sangat kuat untuk ditandingi.

Tahun berikutnya, Liverpool gagal meneruskan rentak sebelumnya, kali ini hanya sekadar mengakhiri liga di tempat ke 7.

Menandatangani Alonso adalah rahmat buat Liverpool.

Sepanjang berada di Anfield, Rafael Benitez telah menandatangani 44 orang pemain untuk kelab dengan bajet yang biasa-biasa.

Tidak semuanya memberikan impak besar tapi ada dalam kalangan pemain yang dibeli itu mempunyai karier yang sangat cemerlang di sana.

Salah seorangnya ialah Xabi Alonso.

Pemain tengah Sepanyol itu hadir di Anfield pada musim panas 2004 dengan kelab membayar Real Sociedad sebanyak £10.7 juta.

Alonso menghabiskan selama 5 tahun di Merseyside dengan membuat penampilan lebih 200 kali, selain memenangi trofi penting termasuklah Liga Juara-Juara pada tahun 2005 dan Piala FA pada tahun 2006.

Tiba-tiba Benitez ingin lepaskan Alonso.

Pada musim panas 2008, Rafa Benitez membuat keputusan yang mengejutkan apabila cuba membawa masuk Gareth Barry bagi mengggantikan Xabi Alonso.

Tetapi, Liverpool gagal mencapai persetujuan bersama Aston Villa, dan penyudahnya Barry kekal di Villa Park manakala Alonso masih lagi di Anfield.

Alonso ada menceritakan kembali saat peristiwa dia ingin disingkirkan daripada pasukan.

“Percubaan membawa masuk Gareth Barry mengambil sedikit masa buat saya menerimanya kerana ia bakal menentukan nasib saya sendiri di masa hadapan”.

“Meninggalkan Liverpool adalah satu keputusan yang sangat berat dalam hidup, tetapi setelah apa yang berlaku dengan urusan Barry, saya memberitahu Rafa yang saya ingin ke Real Madrid selepas mereka datang mengetuk pintu”.

Musim panas 2009, Benitez menolak keluar Alonso ke Santiago Bernabeu dengan yuran perpindahan sebanyak £30 juta, dan memilih untuk merekrut Alberto Aquilani sebagai alternatif kepada Gareth Barry.

Kenapa menolak keluar Alonso? Ini jawapannya.

Apabila ditanya mengapa ingin menjual Alonso dan cuba memetik Barry dari Aston Villa, ini jawapan Benitez ketika ditemuramah FourFourTwo:

“Sebagai seorang pengurus, anda perlu melihat dalam kerangka yang lebib besar”.

“Dalam kes ini, Barry adalah pemain Inggeris dan boleh beraksi dalam banyak posisi”.

“Dengan undang-undang yang memerlukan lebih ramai pemain Inggeris, jadi kami perlu bersiap sedia”.

“Benda ini agak rumit, tapi saya rasa ia keputusan yang tepat memandangkan Alonso juga bukan dalam tahap yang sama seperti sebelumnya”.

Musim terakhir Alonso di Anfield, Liverpool menamatkan musim di tangga kedua liga. Ketika itu, inilah musim terbaik Liverpool sejak Premier League mula dibentuk pada tahun 1992.

Penjualan Alonso secara tidak langsung telah merencatkan peluang Liverpool untuk kembali mencapai status kuasa besar di England.

Liverpool jatuh merudum di musim berikutnya dan Benitez meninggalkan kelab dengan persetujuan bersama selepas itu.

Alonso selepas keluar Liverpool dan raih beberapa kejuaraan besar.

Selepas meninggalkan Anfield untuk menyertai Real Madrid pada tahun 2009, Alonso berjaya memenangi dua kejuaraan Copa del Rey, satu trofi La Liga, dan satu lagi trofi Liga Juara-Juara pada tahun 2014.

Dia kemudian menghabiskan tiga tahun berikutnya di Real Madrid, dengan satu lagi tempoh yang penuh kejayaan, menang tiga kejuaraan Bundesliga, Piala Liga Jerman, dan DFB Pokal, sebelum bersara pada tahun 2017.

Percubaan Benitez untuk menggantikan Alonso dengan Barry menjadi satu perbahasan di kalangan penyokong dan pengkritik bola sepak.

Walaupun Barry ada musim yang sukses juga di Man City, namun satu hal yang kita semua akan terus ingat adalah Alonso kekal sebagai salah seorang ‘deep-lying midfielder’ yang terbaik di dunia dan menjadi tunjang kepada Sepanyol dalam dua kejuraan Euro dan satu trofi Piala Dunia.

Baca yang lain