Jack Wilshere Umum Persaraan, Masterclass Menentang Barcelona Kekal Menjadi Ingatan

Jack Wilshere telah mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak pada usia 30 tahun dan mengesahkan bakal dilantik menjadi ketua jurulatih Arsenal bawah-18.

Wilshere mempunyai 34 caps bersama England, juga merupakan sebahagian daripada skuad Piala Dunia 2014. Seorang pemain yang sepatutnya ada karier yang cerah tetapi digagalkan dengan krisis kecederaan yang berlanjutan.

Ketika awal-awal kemunculan bersama Arsenal, Wilshere telah dicanang-canang sebagai bintang besar akan datang untuk England.

Menyertai Arsenal sejak 2001 dan menghabiskan 7 tahun bersama sistem akademi kelab, pemain tengah ini memulakan kariernya bersama skuad senior pada tahun 2008.

Wilshere menunjukkan segalanya yang anda mahu dalam seorang pemain tengah, cukup bertenaga, kreatif, tenang, dan cekap membuat hantaran.

Masterclass ketika melawan Barca.

Ada beberapa perlawanan yang menunjukkan betapa sensasinya Wilshere ketika bebas dari kecederaan.

Namun, tiada yang boleh mengatasi persembahannya ketika bertemu Barcelona.

Wilshere, 19 tahun ketika itu menunjukkan kelas yang tersendiri sehinggakan Pep Guardiola tanpa berlapik memanggilnya sebagai ‘top player’.

Wilshere menghasilkan persembahan bertaraf pemain terbaik, membantu Arsenal menang 2-1 di Stadium Emirates dalam aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara pada tahun 2011.

Walaupun jaringan Robin van Persie dan Andrei Arshavin memberikan malam yang indah buat Arsenal tetapi tumpuan lebih tertuju ke arah Wilshere.

Pemain muda ini tidak menunjukkan rasa gementar semasa berhadapan dengan kelompok pemain tengah terbaik Barca seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta, dan Sergio Busquets.

Bergandingan di tengah bersama Alex Song, Wilshere menampilkan aksi yang sangat mantap, tenang ketika membawa bola, dan sentiasa memberi sokongan kepada rakan sepasukan.

Di usia yang masih muda, Wilshere sangat berkeyakinan tinggi semasa bertemu lawan yang memenangi treble tahun itu. Skuad Barca era itu juga sering menjadi topik perbualan mengenai generasi emas bola sepak.

Namun begitu, Wilshere tidak berkongsi pendapat yang sama seperti orang ramai apabila mengulas mengenai permainannya malam itu.

“Jujurnya, saya tidak rasa saya bermain cukup bagus”.

“Saya fikir, saya bermain baik. Bila hampir menuju tamat separuh masa pertama, saya ada melakukan beberapa perkara yang bagus cuma mereka tetap mendominasi seperti biasa”.

“Mereka buat kamu seperti berlari tanpa hala tuju di dalam bulatan, bermain hantaran pendek di kawasan tengah, dan kamu sendiri buntu sama ada nak buat pressing atau sekadar menunggu saja”.

“Sampai habis perlawanan, baru saya sedar benda ni. Paul Akers (kit man) cakap, ‘Xavi dan Iniesta dalam poket kau tadi’. Saya kata, ‘tak mungkin’, dan dia balas, ‘aku cakap betul ni’. Kemudian, saya dapat anugerah pemain terbaik perlawanan.”

Apabila berbicara mengenai masterclass yang ditunjukkan Wilshere ini juga, dalam masa yang sama kita akan mempersoalkan bagaimana kalau Wilshere tidak mengalami krisis kecederaan yang berlanjutan.

Legenda Barca, Xavi Hernandez turut berkongsi pendapat mengenai Jack Wilshere.

“Kalau dia ada karier yang bebas dari kecederaan, kita sudah tentu akan bercakap tentang dia sebagai seorang pemain tengah terbaik di Eropah”.

“Saya pernah bermain menentangnya, pernah melihatnya dengan teliti, dan jika dia tidak dibelenggu masalah kecederaan, dia boleh jadi salah seorang pemain tengah terbaik dunia”.

“Dengan penuh rasa hormat, dia tidak memainkan cara orang Inggeris. Dia ada hantaran yang bagus, keupayaan untuk tidak hilang bola”.

Karier yang cerah namun kerap dibelenggu masalah kecederaan.

Wilshere sebelum ini menjadi pemain termuda Arsenal yang melakukan debut bersama kelab di usia 16 tahun dan 256 hari pada tahun 2008. Bersama Arsenal, dia memenangi dua kejuaraan Piala FA pada tahun 2014 dan 2015.

Pada tahun 2018, Wilshere meninggalkan Arsenal untuk menyertai West Ham dan ada menyuarakan penyesalan kerana keluar pada waktu yang tidak tepat ketika ditemuramah tahun lepas.

Wilshere kemudian menyertai Bournemouth sebelum menuju ke Denmark untuk bersama Aarhus.

Persembahan Wilshere yang penuh artistik ketika menentang Barcelona akan terus diingati.

Dari seorang yang dianggap bakal menggegar dunia, Wilshere gagal memenuhi ekspektasi tersebut, dan kini memilih untuk menggantung but.

Selamat bersara Jack Wilshere.

Sumber: SPORTbible

Baca yang lain