Athletic Bilbao: Legasi Kelab Anak Jati Basque Yang Tak Pernah Tersingkir Dari La Liga

Atheltic Bilbao memiliki polisi unik yang masih mereka kekalkan sejak hari pertama penubuhannya. Mereka adalah kelab yang berpegang kuat kepada tradisi dan juga budaya.

Dengan paradigma bola sepak sudah beranjak sangat jauh dengan globalisasi, di mana perpindahan pemain daripada pasukan dan import negara lain menjadi tunjang kepada pembentukan pasukan.

Menariknya, kelab bernama Athletic Bilbao ini terus berdiri di liga utama dan tak pernah tersingkir daripada liga utama sejak dari dulu lagi – sejak tahun 1929.

Dan baru baru ini, pada 2020/21, mereka menjuarai Piala Super Sepanyol menewaskan Barcelona. Perlawanan yang menjadi perhatian dunia kerana insiden kad merah Lionel Messi serta gol masa kecederaan Bilbao yang mengheret Barca ke masa Ekstra.

Bilbao menang dalam 3-2 selepas masa ekstra.

 

Kelab unik ini masih berpegang kepada dasar yang hanya untuk anak jati ataupun bersusur galur keturunan Basque.

Dasar hanya Basque

Athletic Bilbao masih berpegang kepada dasar bergantung kepada akademi Cantera mereka yang akan diberikan peluang untuk dinaikkan pangkat ke pasukan utama.

Hanya pemain berasal dan berketurunan negara Basque sahaja yang layak bermain dengan mereka. Secara tidak langsung, Athletic Bilbao adalah kelab yang menghantar orang ‘negara’ Basque bermain mencabar pasukan lain di negara Sepanyol.

Secara geografinya, Basque ada 2 wilayah iaitu di Sepanyol dan juga di Utara Perancis. Untuk pengetahuan semua, dasar hanya Basque ini tidak ada tertulis dalam mana-mana peraturan dan perundangan kelab mereka.

Tetapi presiden kelab mereka menjadikan ia tanggungjawab sosial untuk meneruskan tradisi itu. Agak menarik kerana penyokong-penyokong Athletic Bilbao sentiasa berbangga dengan dasar ini.

Dan mereka masih kekal menjadi pasukan yang tidak pernah tersingkir daripada La Liga bersama-sama dengan Real Madrid dan Barcelona.

Mereka pernah menjuarai kejuaraan berganda, juara liga dan piala Sepanyol pada 1983/84. Ini membuktikan tradisi kelab mereka masih bukan masalah utama kepada Bilbao. Pada 2012, mereka mara ke final UEL.

Sepanjang sejarah kelab mereka yang sudah hampir 120 tahun, belum ada mana-mana calon presiden kelab yang menggunakan isu mahu menukar polisi hanya Basque ini dalam manifesto mereka.

Sociedad menamatkan dasar yang sama

Sebuah lagi kelab Basque iaitu, Real Sociedad menggunakan polisi yang sama tetapi pada 1989, tradisi itu terhapus apabila mereka menandatangani John Aldrige dari Liverpool.

Aldrige adalah pemain berbangsa Ireland yang ditandatangani untuk meningkatkan kebolehsaingan kelab tersebut.

Bilbao: “Con Cantera y Afición, No Hace Falta Importación”

Falsafah utama kelab ini adalah “Con Cantera y Afición, No Hace Falta Importación” yang bermaksud, dengan bakat tempatan dan sokongan daripada orang tempatan, anda tidak perlukan orang luar.

Untuk memastikan dasar ini kekal relevan, ianya bukan mudah. Mereka menubuhkan pasukan scouting yang sangat aktif untuk mengintai dan menyerap bakat bola sepak di Basque dan pemain berketurunan Baque di negara lain secepat mungkin ke dalam akademi mahupun pasukan utama mereka.

Cabaran dalam sistem

Propaganda bangsa Basque digunakan sebagai wadah untuk menaikkan rasa bangga pemain memakai jersi Athletic Bilbao. Jika anda mengenakan jersi Bilbao, anda adalah wira negara bangsa.

Hari ini, sistem pemantau bakat mereka ada jaringan perhubungan di seluruh dunia. Sistem mereka adalah menyerap pemain muda ke CD Basconia yang merupakan kelab pembekal yang bermain di divisyen ke-4 (Tercera Division) di Sepanyol.

Seterusnya, pemain-pemain ini akan dinaikkan pangkat ke pasukan B mereka yang bermain di divisyen Segunda B. Setiap musim ada pemain yang bukan mereka naikkan pangkat daripada sistem pembekal ini.

Ini apabila pemain berdarah Basque bermain dengan pasukan lain di Sepanyol ataupun di negara lain. Athletic Bilbao sangat terbuka menerima pemain berdarah Basque ini. Mereka akan cepat menawarkan pemain-pemain ini untuk menyertai mereka.

Mereka mendapatkan Javi Martinez dari Osasuna ketika pemain itu berusia 17 tahun dengan nilai €6 juta. Martinez bermain 200 perlawanan untuk Bilbao dan menjadi pemain kebangsaan Sepanyol.

Martinez kemudian berpindah ke Bayern Munich dengan perpindahan €40 juta dan menikmati karier luar biasa.

Ander Herrera adalah graduan Real Zaragoza yang dibeli dengan harga agak tinggi iaitu €7.5 juta pada 2011. 3 tahun kemudian, Manchester United mengaktifkan klausa perlepasan €36 juta untuk membeli pemain tersebut. Kini pemain tersebut bermain untuk PSG.

Pada hari ini, salah seorang bakat yang menjadi perhatian Eropah dan kelab elit adalah Inaki Williams. Pemain yang lahir daripada sistem akademi mereka.

Inaki Williams adalah pemain campuran Ghana (ayah) dan Liberia (ibu). Namun keluarga beliau sudah bermastautin di Basque. Pemain berkulit hitam pertama yang menjaringkan gol untuk Basque.

Beliau juga pemain yang membantu Athletic Bilbao menjuarai Piala Super Sepanyol 2015 menewaskan Barcelona dengan agregate 5-1. Itu adalah kejuaraan pertama kelab mereka sejak 1984.

Pada ketika itu Bilbao diuruskan oleh Ernesto Valverde yang kemudiannya menjadi pengurus Barcelona.

Antara nama-nama besar yang pernah dilahirkan ataupun bermain dengan Athletic Bilbao ialah, Aritz Arduriz, Telmo Zarra, Aitor Karanka, Fernando Llorente, Kike Sola, Andre Ituraspe, Javi Martinez, Andre Hererra, Iker Muniain, Beñat, Fernando Amorabieta dan ramai lagi.

Mereka tidak pernah kering dengan bakat-bakat luar biasa. Misalnya Aymeric Laporte, Inaki Williams, Kepa Arrizabalaga antara pemain yang memiliki tag harga yang tinggi di bursa perpindahan pemain.

Laporte pemain yang berketurunan Basque di wilayah utara Perancis dan beliau memilih untuk mewakili pasukan Perancis. Laporte dan Arrizabalaga sudah dijual ke EPL dengan nilai terkumpul £128.7 juta.

Dilema

Cabaran utama adalah mereka masih mengekalkan semangat Baque yang kuat. Dengan wang Laporte dan Arrizabalaga hampir £130 juta dalam kurang 8 bulan terakhir, tetapi mereka mahu beli pemain mana?

Adakah sudah tiba masanya mereka menjadi seperti Real Sociedad, membuka pintu mereka kepada pemain luar? Dengan wang dan bakat yang mereka ada, kelab ini mungkin boleh menjadi pasukan yang kuat.

Wang beratus juta itu terlalu banyak untuk dilaburkan kepada fasiliti pasukan mahupun akademi.

Namun begitu, dilema kepada Presiden pasukan adalah, adakah mereka akan dianggap pengkhianat jika memansuhkan dasar dan falsafah itu daripada kelab mereka?

Adakah pihak pengurusan hari ini cukup berani untuk melakukannya?

Dalam kenyataan rasmi mereka tentang perpindahan Kepa Arrizabalaga, mereka tetap menekankan falsafah dan doktrin kelab mereka yang menjadi kebanggaan kelab dan para pemain.

Legasi

Tidak pasti sama ada mereka akan mampu mengekalkan tradisi ini berapa lama lagi. Tetap mereka adalah pasukan yang berjaya dengan polisi ini walaupun bersaing dalam salah satu liga utama Eropah, La Liga.

Walaupun mereka berhadapan dengan kekangan di mana, pencapaian mereka seakan-akan sukar untuk melepasi satu takuk.

Namun satu perkara yang jelas, sinergi dan komitmen mereka untuk saling berbakti kepada negara bangsa sangat mengagumkan.

Pihak pengurusan sentiasa mencari jalan untuk mencungkil bakat baru dari kalangan anak jati Basque.

Manakala para pemain pula sentiasa ada semangat yang tinggi setiap kali mengenakan jersi Athletic Bilbao. Masyarakat dan penyokong mereka pula sentiasa bangga dengan tradisi kelab mereka. Ia perkara yang sukar untuk dijelaskan!

Boleh dikatakan, anak jati Basque memang hebat dalam bola sepak untuk memastikan kelab mereka terus relevan dalam saingan liga utama dan juga Eropah.

Baca yang lain