Barcelona Nak Saman El Mundo Yang Bocorkan Kontrak Pemain Terbaik Dunia Messi

Blaugrana telah menafikan terlibat dalam perkongsian secara terbuka mengenai maklumat perjanjian kontrak semasa Lionel Messi dengan media Sepanyol.

Barcelona mengatakan mereka bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang setelah penerbitan EL Mundo mendedahkan perincian kontrak Lionel Messi yang bernilai €555 juta.

Akhbar Sepanyol El Mundo membocorkan dokumen yang menyatakan syarat perjanjian Messi semasa di Camp Nou, yang akan berakhir pada akhir bulan Jun.

Laporan mereka menyatakan bahawa perjanjian empat tahun, yang ditandatangani oleh Argentina pada tahun 2017, merangkumi pendapatan tetap dan pembayaran bonus yang berjumlah € 138 juta (£ 112 juta / $ 167 juta) setahun.

Messi telah meraih € 510 juta. dengan € 45 juta lagi akan dibayar dalam tempoh enam bulan akan datang. El Mundo mendakwa bahawa pemain berusia 33 tahun itu adalah atlet bergaji tertinggi dalam sejarah sukan profesional.

Kenyataan El Mundo itu memberikan impak kepada usaha Barcelona meminta penangguhan hutang daripada beberapa bank besar dan juga 19 kelab lain – atas urusan perpindahan pemain.

Seperti yang dinyatakan di dalam laporan kewangan kelab, dengan Liverpool sahaja mereka berhutang sebanyak £28 juta (29 juta euro) untuk Coutinho.

Selepas hutang Coutinho, Blaugrana berhutang dengan Ajax £ 14 juta (€ 16 juta) untuk Frenkie de Jong, Bordeaux £ 8,8 juta (€ 9,9 juta) untuk Malcom dan Gremio £ 7 juta (€ 7,9 juta) untuk Arthur Melo.

Agak menarik kerana Melo dijual terlebih dahulu sebelum harganya dibayar langsai. Arthur ditukarkan dengan Pjanic yang merupakan opsyen lebih murah dari segi gaji.

Kapten kelab  tersebut kemungkinan akan mengakhiri kariernya selama 17 tahun di Camp Nou pada musim panas ini, dengan Barca dilaporkan tidak mampu terus membayar gaji pemain itu yang lumayan di tengah-tengah hutang yang meningkat melebihi € 1.2 bilion.

Pegawai Blaugrana telah menyatakan  hasrat mereka untuk meyaman El Mundo kerana mengeluarkan butiran kontrak Messi kepada umum tanpa izin mereka, sambil mengutuk cubaan mencemarkan nama baik watak dan imej Messi.

“Melihat maklumat yang disiarkan hari ini di surat khabar El Mundo, berkaitan dengan kontrak profesional yang ditandatangani antara FC Barcelona dan pemain Lionel Messi, kelab menyesali penerbitannya memandangkan ia adalah dokumen peribadi yang diatur oleh prinsip kerahsiaan antara pihak, ” tegas Barcelona menerusi pernyataan di laman web rasmi.

“FC Barcelona dengan tegas menolak tanggungjawab untuk penerbitan dokumen ini, dan akan mengambil tindakan perundangan yang sesuai terhadap surat kabar El Mundo, atas segala kerosakan yang mungkin disebabkan oleh penerbitan ini.

“FC Barcelona menyatakan sokongan mutlak ke atas Lionel Messi, terutama dalam menghadapi segala usaha untuk mencemarkan nama baiknya, dan merosakkan hubungannya dengan entiti di mana dia telah bekerja untuk menjadi pemain terbaik di dunia dan dalam sejarah bola sepak.”

Messi gagal berpindah pada musim panas lalu setelah keputusannya untuk mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya tidak dilayan Barcelona.

Bartomeu ketika itu mengancam akan menyaman Messi jika pemain itu mahu terus mengaktifkan klausa khas tersebut.

Menurut klausa tersebut, Messi berhak meminta pergi secara percuma pada bulan terakhir musim selepas dia berusia 32 tahun.

Messi cuba mengaktifkan klausa itu. Namun Barca menyatakan klausa itu cuma terpakai pada bulan Jun. Messi agak kecewa kerana musim lalu berakhir lewat dan Messi komited bermain walaupun selepas Jun.

Pemain antarabangsa Argentina itu akhirnya berjanji untuk kekal sepanjang kempen 2020-21 kerana cintanya kepada Barca dan peminat mereka.

Namun, spekulasi mengenai masa depannya semakin panas, dan walaupun pemenang Ballon d’Or enam kali dikaitkan dengan kelab seperti Paris Saint-Germain dan Manchester City. Messi juga telah membuka pintu untuk berpindah ke MLS sebelum menggantung butnya.


BACA JUGA: TERKINI: Kontrak Messi Bernilai €555.2 Juta (RM2.73B), Bonus €77.9 Juta (RM382J) Dapat Jun ini

 

El Mundo mendedahkan jumlah bayaran diterima Messi untuk kontrak yang ditandatangainya pada 2017 – berdurasi 4 tahun yang akan berakhir pada Jun ini.

Secara keseluruhan, Messi menerima €555,237,619 selama 4 tahun di Barcelona. Itu bersamaan dengan sekitar RM2.73 billion.

Setiap musim kapten legenda Barcelona, Lionel Messi menerima €138 juta daripada gaji tetap dan bonus lain.

Manakala €115 juta adalah bayaran yang diterima Messi sebaik sahaja beliau menurunkan tandatangan ke atas kertas kontraknya pada 2017 sebagai bonus pembaharuan kontrak.

Secara relevannya, Barcelona tidak perlu membeli pemain lain dan hanya perlu membayar €115 juta terus kepada Messi dan agensinya.

Messi sebelum ini mahu pergi meninggalkan Barcelona. Dan jika itu berlaku Barcelona boleh menjimatkan sekitar €78 juta untuk bonus kesetiaan.

Bonus ini hanya akan keluar jika Messi menghabiskan kontraknya di Barcelona. Ini bermakna pada Jun ini, Messi akan menerima bonus kesetiaan bernilai €77,929,955.

Jadi secara terkumpulnya, sehingga Jun ini Leo Messi akan menerima wang terkumpul sebanyak  €555,237,619. Angka itu akan kurang sedikit pada gaji beliau kerana Messi menerima pemotongan gaji. Namun di Barcelona pemotongan gaji hanya dapat dilaksanakan pada November. Berdasarkan gaji Messi yang sangat tinggi, rasa tak luak sangat pun kan?

Pendedahan ini menjadikan Lionel Messi sebagai pemain dengan kontrak paling tinggi dalam sejarah bola sepak.

Messi sememangnya legenda Barcelona yang sangat berpengaruh. Di mana purata 70% daripada penjualan jersi Barca setiap musim adalah dicetak nama Messi.

Kedudukan kewangan Barcelona ketika ini sangat kritikal. Dan mereka tidak dapat membayar gaji Messi untuk Januari pada musim ini.

Barca malah diancam muflis dengan bebanan hutang kasar yang lebih €1.2 billion.

Koresponden sukan terkemuka Guillem Balague menepis dakwaan yang mengaitkan Messi sebagai punca kenapa Barcelona berisiko muflis. Sebaliknya berpendapat, ianya berlaku kerana pengurusan yang teruk.

Barcelona berbelanja sehingga tak ingat dunia dalam membeli pemain dalam beberapa musim kebelakangan ini. Dan beberapa nama besar itu gagal memberikan impak lebih baik di atas padang.

Messi sudah menjaringkan gol yang sangat banyak untuk Barcelona sejak menyertai mereka.

Pada Disember lalu Messi memecahkan rekod Pele sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol untuk satu kelab.


Ayuh mulakan sedikit kira kira:

4 tahun Messi dapat €555.2 juta

Setahun Messi dapat €138.8 juta

Sebulan Messi dapat €11.56 juta

Seminggu Messi dapat €2.89 juta

Sehari Messi dapat €412.9k

Sejam Messi dapat €17.2k

Seminit Messi dapat €287

Sesaat Messi dapat €4.78

Ataupun tukaran kepada Ringgit Malaysia

4 tahun Messi dapat RM2.73 billion

Setahun Messi dapat RM681 juta

Sebulan Messi dapat RM56.72 juta

Seminggu Messi dapat RM14.18 juta

Sehari Messi dapat RM2.02 juta

Sejam Messi dapat RM84k

Seminit Messi dapat RM1,408.20

Sesaat Messi dapat RM23.45

Purata manusia bernafas dalam seminit adalah 12 hembusan nafas. Jadi untuk setiap kali Messi menarik dan menghembus nafasnya dia mendapat RM117.

Jika kita termenung selama seminit kerana membaca pendapatan luar biasa Messi, dan pada masa yang sama, jika Messi ketika ini pun sedang termenung seminit di bilik mandi, Messi sudah menjana RM1,408.20.

Dari atas ke bawah, kita membaca artikel ini dalam masa 5 minit. Bermakna, jika anda adalah Lionel Messi, anda baru sahaja menjana RM7,041 walaupun belum turun ke pusat latihan / pejabat sekalipun.

Baca yang lain

Faisal Halim Melecur Tahap 4

Faisal Halim dilaporkan mengalami kecederaan melecur yang serius pada tahap 4. Sebelum ini Faisal Halim berdepan detik ngeri apabila disimbah dengan asid