Cikgu Park Mahu Fans Vietnam Yang Kutuk Indonesia Main Parking Bas Agar Sedar Diri

Penyokong Vietnam ternyata tidak berpuas hati dengan corak permainan bola sepak Indonesia ketika berhadapan pasukan mereka.

Mereka kemudian bertanya kepada peminat Indonesia, tidakkah mereka malu dengan taktikal yang dianggap bacul itu? Sedangkan seluruh Asia tertumpu kepada aksi semalam.

Indonesia bermain taktikal yang digelar park the bus. Terma yang digunakan Jose Mourinho ketika mengutuk Spurs satu ketika dahulu. Di  mana selepas itu ianya terkena batang hidung Mourinho sendiri selepas dia beberapa kali menggunakan taktikal defensif dengan ramai pertahanan.

Jurulatih Pasukan Kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong kemudiannya mengakui sengaja menggunakan strategi bertahan atau park the bus yang terbukti berjaya menahan Vietnam seri tanpa jaringan.

Perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF 2020 di antara Indonesia dan Vietnam di Stadium Bishan, Singapura, Rabu, berkesudahan seri 0-0.

Shin Tae Yong menjelaskan: “Kami bermain dengan taktikal defensif, sebab pergerakan pemain (Vietnam) nombor 19 dan 10 sangat bagus, jadi sengaja gunakan formasi tiga bek tengah,” kata Shin ketika sidang media maya, Rabu malam dipetik Antara.

Dua pemain Vietnam yang Shin maksudkan ialah nombor 10 Nguyen Chong Phuong dan nombor 19 Nguyen Quang Hai.

Justeru, Shin memilih untuk melakukan formasi pertahanan bersama tiga pertahanan tengah iaitu Alfeandra Dewangga, Fachruddin Ariyanto, dan Rizky Ridho yang diperkuatkan dua bek sayap Asnawi Mangkualam dan Pratama Arhan menjadikan mereka bek berlima sepanjang masa.

Terbukti, strategi “parking bas” yang diterapkan jurulatih Korea Selatan itu membuatkan pemain Vietnam menggigit jari selepas melakukan serangan bertubi-tubi namun berjaya dipatahkan.

Malah, pemain pertahanan pasukan kebangsaan Indonesia, Alfeandra Dewangga dipilih menjadi “man of the match” dalam perlawanan tersebut.

Selain itu, Shin turut mengakui ketiadaan Elkan Baggott menyebabkan dia terpaksa menukar formasi, memandangkan peranannya sebagai pemain utama dalam pertahanan Merah Putih.

Elkan terpaksa tidak hadir kerana terpaksa menjalani kuarantin selepas berada di dalam kapal terbang bersama orang yang dijangkiti pandemik, walaupun Elkan sudah beraksi pada perlawanan sebelumnya menentang Laos sebagai pemain gantian.

Apa yang pasti, Shin amat menghargai keputusan ini kerana ia tidak terlepas daripada usaha gigih pemain dalam mencapai keputusan maksimum atau sekurang-kurangnya mampu bermain seri.

Jurulatih Vietnam, Park Hang Seo tidak senada dengan peminat Vietnam yang mengutuk taktikal defensif pasukan lawan mereka.

Ini kerana menurutnya, ianya digunakan lawan berdasarkan matlamat dan keperluan mereka dalam sesuatu perlawanan. Misalnya Indonesia, jika seri mereka masih akan berada di atas Vietnam dan jika kalah, mereka akan berada di belakang Vietnam menuju hari terakhir perlawanan peringkat kumpulan.

Selain itu, Park Hang Seo mahu peminat Vietnam sedar diri, kerana pasukan mereka juga bermain defensif ataupun parkir bas dalam banyak perlawanan menentang lawan yang lebih kuat.

Misalnya dalam aksi final Piala AFF 2018, ketika menentang Malaysia, Vietnam tetap memilih taktikal yang lebih defensif.

“Saya rasa bukan perkara yang betul untuk saya menilai taktikal pasukan lawan. Saya tak boleh buat penilaian pun. Vietnam juga kadangkala bermain secara bertahan menentang pasukan yang kuat,” kata Park Hang-seo.

Seterusnya Park Hang Seo memuji prestasi pemainnya walaupun tidak menjaringkan gol dalam perlawanan ini.

“Pemain telah bermain dengan baik dan bekerja keras dalam perlawanan ini. Sudah tentu sangat bagus jika kami dapat menjaringkan gol. Tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol, jadi ia bukan masalah besar,” tambah Hang-seo yang menganggap Vietnam masih di landasan terbaik untuk mara.

Keputusan seri menentang Indonesia menjadikan Vietnam masih di tangga kedua kedudukan Kumpulan B dengan tujuh mata. Walaupun mengutip mata yang sama dengan Indonesia, Vietnam tewas dengan perbezaan gol.

Situasi ini menjadikan perlawanan terakhir Kumpulan B pada Ahad nanti bakal sengit, kerana tiga pasukan masih berpeluang layak ke separuh akhir. Malaysia yang kini berada di tangga ketiga telah mengumpul enam mata.

Skuad Garuda dan Harimau Malaya akan bertembung sesama sendiri untuk mendapatkan tiket ke separuh akhir. Indonesia cukup seri untuk mara sementara Malaysia tiada cara lain selain menang.

“Antara Vietnam dan Indonesia, hanya ada satu perbezaan gol. Indonesia dan Malaysia perlu bertarung dalam perlawanan terakhir. Sementara itu, kami berdepan Kemboja, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu,” kata Hang-seo.

Sumber: Indosport / Goal 

Baca yang lain

Bayern Sedia Lantik Semula Nagelsmann

Bayern Munich dilaporkan mempertimbangkan untuk membawa pulang Julian Nagelsmann dan pembantunya, Sandro Wagner ke kelab itu menggantikan Thomas Tuchel. Nagelsmann pernah menjadi