DNA Taktikal: Giggs Dan Beckham Contoh Terbaik Beza Side Midfielder Dan Winger

Share on facebook
Share on twitter

Pemain sisi ataupun pemain sayap? Side midfielder ataupun winger? Kenapa pengulas Eropah suka membezakan side midfielder ataupun winger?

Dalam konsep ulasan bola sepak di negara kita, kita hanya mengklasifikasikan 2 posisi tersebut sebagai posisi sayap (flanker). Sama ada sayap kanan ataupun sayap kiri.

Definisi lemah ini juga kerana kita kekurangan kosa kata dalam bola sepak. Side mifielder jika diterjemahkan secara langsung adalah pemain tengah sisi.

Manakala winger pula merujuk kepada pemain sayap. Ini kerana istilah wing itu merujuk kepada sayap.

Konsep dan etimologi pemain sayap itu sendiri merujuk kepada sifat pemain yang lebih ‘terbang’ ataupun lebih bebas.

Side Midfielder/ Pemain sisi

Ia adalah peranan yang merujuk kepada pemain di bahagian sayap dengan peranan mereka lebih kepada pemain tengah.

Mereka melakukan apa yang dilakukan oleh pemain tengah (center midfielder). Mereka lebih terikat dengan ‘kontrak’ taktikal di dalam padang sebagai penghantar bola kepada pemain serangan.

Kami melabel peranan ini sebagai pemain sisi. Sebelum ini kami melabel pemain fullback sebagai bek sisi. Manakala wingback sebagai bek sayap dalam analisis kami.

Mereka juga lebih terlibat dalam aktiviti bertahan. Dalam mana-mana sistem tengah berlima ataupun tengah berempat, kami selalu menekankan pemain sisi haruslah melakukan tugas bertahan.

Posisi pemain sisi/side midfielder adalah:

  • Pemain sisi kanan/kiri (right/left midfielder)

Anda biasanya akan melihat lebih banyak hantaran silang daripada pemain kategori ini berbanding dengan pemain sayap.

Winger/Pemain sayap

Winger ataupun pemain sayap merujuk kepada pemain yang berperanan lebih kepada serangan dan lebih sedikit tanggungjawab untuk bertahan.

Mereka lebih laju dan berskil untuk masuk ke dalam kotak penalti. Ramai pengulas di England membezakan pemain sisi dan sayap dari segi kelajuan seseorang pemain.

Pemain yang laju seperti Ryan Giggs, Downing, McManaman, Cristiano Ronaldo, Walcott, Chamberlain, Arjen Robben, Mbappe, Neymar akan disebut sebagai winger meskipun mereka bermain dalam sistem tengah berempat ataupun berlima.

blank

Di negara kita pemain seperti Safawi Rasid digelar sebagai winger.

Manakala pemain yang kurang mobiliti seperti David Beckham akan disebut pemain sisi (side midfielder/ right midfielder).

Ada juga pemain side midfielder yang laju tetapi mereka tidak menyerang ke dalam box. Dan tugas mereka lebih kepada feeder. Jadi, mereka ini tetap digelar side midfielder.

Oleh itu, pengulas mengkelaskan pemain seperti Mbappe sebagai attacker dan Beckham sebagai midfielder  di sisi.

2 flanker United ketika gandingan Beckham-Giggs adalah berbeza. Mereka gunakan terma side midfielder iaitu right midfielder untuk Beckham. Manakala Giggs akan disebut left winger.

Namun pemain seperti Kuyt dan Park Ji Sung digelar defensive winger walaupun mereka tidak laju kerana mereka bukan penghantar bola silang yang baik.

Mereka boleh melakukan ancaman terus ke dalam kotak penalti dan pada masa yang sama boleh bertahan dengan komitmen yang sangat tinggi.

Pada era moden, definisi winger adalah merujuk kepada wing forward ataupun penyerang sayap seperti yang biasa dimiliki oleh pemain-pemain Belanda.

Mereka biasanya muncul dalam sistem serangan bertiga. Contohnya dalam formasi 4-3-3 ataupun 3-4-3.

Jadi, untuk meletakkan pemain sisi dalam sistem serangan bertiga akan membuatkan sistem serangan bertiga kurang ancaman secara terus.

Ini bermakna, pemain sayap perlulah ada kemampuan untuk melarikan bola, memiliki visi yang tinggi dan kemampuan untuk melakukan jaringan serta mencipta peluang dari dalam kotak penalti.

Contoh posisi pemain sayap (winger) adalah:

  • Sayap kanan/kiri
  • Penyerang sayap (wing attacker/wing forward)
  • Sayap songsang (inverted winger/inside forward)

Rumusan

Pemain sisi dan pemain sayap (side midfielder & winger) adalah dua jenis pemain yang berbeza.

Pemain memiliki versatility yang lebih tinggi dan permainan individu yang lebih memukau. Manakala pemain sisi pula lebih terhad (limited) dari segi teknikal.

Namun pemain sisi lebih berkesan dalam aspek permainan berpasukan seperti bertahan di dalam unit berbanding dengan pemain sayap.

Pemahaman baka pemain ini kerap menjadi masalah di negara kita. Pemain sisi ataupun pemain sayap adalah flanker ataupun disebut juga wideman.

Pemain sisi biasanya berada di posisi kaki utama mereka berbanding dengan pemain sayap yang boleh bermain di posisi sama ada posisi kaki utama ataupun kaki lemah seperti pemain sayap songsang (inside forward).

Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana pula dengan posisi wingback ataupun bek sayap. Ia juga ada beza dengan bek sisi dari segi posisi.

Namun, apabila winger bermain dalam sistem formasi pertahanan berempat atapun berlima, mereka perlu lebih defensif berbanding dengan jika mereka bermain sistem serangan bertiga.

Pada hari ini nilai pasaran untuk winger jauh lebih tinggi daripada side midfielder. Gareth Bale, Ronaldo, Neymar, Di Maria, Hazard antara contoh dari kategori winger yang mahal.

blank

Kebanyakan winger yang lebih mahal adalah mereka yang dari kategori inverted winger yang juga disebut inside forward.

Baka pemain sisi kian terancam dengan baka pemain sayap kerana taktikal bola sepak moden yang kurang memerlukan hantaran silang yang terlalu kerap.

Sebaliknya ramai jurulatih memilih pemain flanker yang lebih serba boleh dan mampu menghadirkan ancaman secara langsung.

Baca yang lain