Jaket Kulit Kini Jadi Fesyen Baru Kim Jong Un, Lalu Ia Diwartakan Haram Dipakai Rakyat Biasa

Rakyat Korea Utara sememangnya dilarang sama sekali meniru pemakaian tuan presiden tertinggi mereka Kim Jong Un. Ini termasuk gaya rambut.

Dalam peraturan Korea Utara sendiri menyatakan bahawa rakyatnya hanya boleh menggayakan 28 gaya rambut, 18 untuk wanita dan 10 untuk lelaki.

Tetapi lelaki dilarang sama sekali meniru gaya rambut Kim Jong Un. Kerana ia dianggap mencemari imej presiden.

Terbaru, Korea Utara menyenaraikan fesyen jaket kulit sebagai larangan terbaru di negara tersebut.

Ianya selepas Kim Jong Un tahun ini semakin kerap memakai jaket kulit. Ini termasuk ketika majlis pecah tanah projek hospital di Pyongyang pada Mac.

Selain itu, Kim Jong Un benar benar gemarkan gaya terbarunya. Kerana dalam sesi temuramah di televisyen baru baru ini, dia turut memakai jaket kulit.

Menurut laporan oleh Radio Free Asia, Kim Jong Un sudah mewartakan undang undang melarang rakyatnya daripada menggunakan jaket kulit.

Larangan tersebut terpakai kepada rakyat biasa. Namun untuk pegawai tertinggi kerajaan yang merupakan orang kanan Kim Jong Un, ada beberapa dari kalangan mereka yang diberikan kebenaran khas.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Radio Free Asia, apabila ada beberapa pegawai kanan Kim Jong Un dilihat memakai jaket kulit ketika upacara perarakan ketenteraan baru baru ini.

Polis ketika ini sedang memantau gaya penampilan rakyat Korea Utara. Dan kalau ada yang memakai jaket kulit, mereka akan ditahan, jaket kulit itu akan dirampas.

Selain itu, kedai kedai pakaian juga dilarang sama sekali menjual jaket kulit lelaki.

Hal ini kerana berlaku satu trend terbaru di Korea Utara, di mana rakyatnya tiba tiba menggemari jaket kulit. Kedai kedai baju kulit mendapat banyak permintaan kerana ramai yang mahu menggayakan fesyen gaya supreme leader mereka.

Kesannya, harga jaket kulit di negara tersebut melonjak naik kepada RM150 sehelai untuk kulit tulen dan RM55 untuk jaket kulit tiruan.

Untuk orang Korea Utara, harga itu sangat mahal. Kerana rata rata rakyat marhaen mereka berpendapatan purata RM88 sebulan – menurut laporan Business Insider pada 2018. Mereka bergantung kepada bonus untuk menambah pendapatan.

Pendapatan tahunan rakyat Korea Utara pada 2018 secara purata adalah RM1050. Jadi untuk membeli jaket kulit yang ori, ianya gaji 2 bulan mereka.

Malang sekali, keseronokan berfesyen itu tidak lama. Kerana Kim Jong Un mahu gaya tersebut eksklusif dan bukannya sesuka hati digayakan di Korea Utara.

Bukan itu sahaja, jaket kulit untuk wanita juga dilarang. Selepas adik kepada Kim Jong Un iaitu Kim Yo Jung turut terikut ikut trend abangnya.

Radio Free Asia melaporkan: “Jaket kulit kini sudah menjadi satu simbol kekuasaan dan taraf sosial seseorang di Korea Utara.”

“Ramai anak muda merungut kerana mereka menyatakan bahawa mereka membeli jaket kulit dengan wang mereka sendiri dan ada yang sudah lama memang sudah memiliki jaket kulit. Dan kini pemerintah mahu merampasnya daripada mereka?”

“Polis bertindak atas rungutan ini, dan mengingatkan rakyat jelata bahawa mereka dilarang sama sekali memakai jaket kulit seperti orang kelas atasan.”

“Arahan sudah dikeluarkan untuk melarang orang ramai daripada memakai jaket kulit. Dan hanya orang tertentu yang dibenarkan atas kebenaran khas.”

Seterusnya kini polis maritim turut menggiatkan operasi menghalang penyeludupan jaket kulit ke negara mereka menerusi laluan perairan mereka. Dan macam biasa, suspek utama sudah tentunya sindiket dari China.

BACA JUGA: 24 Peraturan Pelik Di Korea Utara Termasuk Wajib Undi Kim Jong Un Dalam Pilihanraya

Korea Utara merupakan negara yang mengamalkan dasar isolasi daripada dunia luar. Ada banyak peraturan yang tidak masuk akal di sana. Seorang aktivis dari Korea Utara iaitu Park Yeonmi pernah memberikan komen tentang peraturan di Korea Utara.

Dan beliau meminta dunia menonton drama Crash Landing On You kerana menurutnya, walaupun agak dramatik namun drama tersebut menggambarkan kehidupan dan peraturan sosial di Korea Utara yang ketat.

Pada masa yang sama, Park Yeonmi mengakui bahawa ramai masyarakat muda Korea Utara mulai mencari hiburan dari luar terutama sekali Kpop dari Korea Selatan.

Berikut adalah 24 peraturan pelik di Korea Utara daripada ratusan peraturan pelik yang ada di negara mereka.

1. Filem dan lagu asing adalah diharamkan

Korea Utara tidak membenarkan tayangan filem, drama atau memainkan lagu asing di negara mereka.

Pada 2015, satu operasi besar besaran dibuat untuk menggempur dan merampas kaset dan CD artis luar negara. Kemudian Kim Jong Un mengarahkan kesemuannya dibakar dan dilupuskan.

Terbaru ada dua kes rakyat Korea Utara menonton filem luar. Seorang pemuda dihukum mati kerana menyeludup dan mengedar dram Squid Game.

Seorang lagi pelajar dipenjara 14 tahun kerana menonton drama Korea Selatan.

Hiburan luar hanya dibenarkan atas kebenaran Kim Jong Un. Misalnya Red Velvet dikatakan pernah mengadakan konsert di Korea Utara atas jemputan tuan presiden.

2. Membuat panggilan antarabangsa adalah jenayah berat

Rakyat Korea Utara dilarang membuat panggilan antarabangsa. Pada 2007, seorang pengusaha kilang dihukum tembak mati oleh skuad penembak khas di hadapan 150,000 orang awam kerana membuat panggilan antarabangsa menggunakan 13 peranti berbeza dari ruang bawah tanah kilangnya.

Korea Utara tak mahu rakyatnya memburuk burukkan negara sendiri di dunia luar.

3. Menentang pemimpin agung akan dikenakan hukuman mati

Demokrasi? Maaf, Korea Utara ada cara tersendiri. Mereka menggelarkan presiden mereka sebagai supreme leader ataupun pemimpin agung.

Sebenarnya penilaian tentang kesetiaan seseorang itu sangat subjektif di Korea Utara. Misalnya pada 2015, Menteri Pertahanan Korea Utara, Hyon Yong Chol dihukum mati atas tuduhan tidak setia kepada supreme leader, hanya kerana dia tertidur ketika Kim Jong Un sedang berucap.

4. Hukuman 3 generasi

Jika seseorang itu melakukan jenayah, bukan dia sahaja yang dihukum tetapi 3 generasinya, termasuk datuk atau nenek, ibu bapa dan anak mereka.

Undang undang ini dibuat untuk mengelakkan banduan lari dari penjara.

5. Stail rambut mengikut piawaian kerajaan sahaja

Rakyat Korea hanya boleh menggayakan 28 gaya rambut mengikut piawaian kerajaan. 18 untuk wanita dan 10 untuk lelaki. Peraturan ini dikuatkuasakan pada 2013 dan semua orang dilarang meniru gaya rambut Kim Jong Un yang dianggap eksklusif.

Wanita yang dah berkahwin perlu memilih gaya rambut lebih pendek.

6. Peraturan bola keranjang sendiri

Di Korea Utara, Menteri sukan mereka mewartakan peraturan bola keranjang mereka sendiri. Slam Dunk adalah 3 mata, bukan 2. Lepas tu, jaringan dari dalam kawasan 2 mata pada 3 minit terakhir akan diberikan 8 mata. 3 kali gagal menjaringkan bola akan membawa kepada penolakan 1 mata.

7. Permohonan tinggal di ibu negara

Hanya rakyat yang ada kebenaran khas daripada kerajaan sahaja boleh tinggal di Pyongyang.

Berbeza dengan tempat lain, Pyongyang lebih maju dan lebih banyak akses seperti pendidikan serta bekalan air dan elektrik yang lebih stabil.

8. Beli sendiri meja dan kerusi

Pelajar diminta membeli sendiri meja dan kerusi. Namun tertakluk kepada peraturan, membeli meja dan kerusi yang ditetapkan kerajaan sahaja daripada kedai yang ada tender kerajaan.

9. Bible diharamkan di Korea Utara

Bible diharamkan sama sekali kerana tidak mahu rakyat Korea Utara terpengaruh dengan kehidupan barat. Mengedarkan bible boleh membuatkan seseorang itu ke kerusi maut untuk hukuman tembak sampai mati.

Pada 2014, warga Amerika Syarikat, Jeffrey Fowle, berjaya mengelak hukuman mati hanya kerana dia tak sengaja membawa bible dalam begnya. Oleh kerana kerajaan mengesahkan Fowle tiada unsur unsur mahu mengedarkan bible itu, maka dia dipenjara 5 bulan sahaja.

10. Tiada iPhones

iPhones dilarang sama sekali. Begitu juga komputer jenama yang bukan dari Korea Utara.

Rakyat Korea Utara sangat terhad pengetahuan mereka tentang teknologi.

11. Pemeriksaan khas kastam

Jika kamu memasuki Korea Utara, kastam akan memeriksa semua perkara yang berkaitan dengan muzik, buku yang dibawa masuk ke negara mereka.

12. Kem tahanan politik

Khas untuk salah laku melibatkan ahli politik. Mereka akan menjadi buruh paksa. Kemudian ada yang terus lenyap tanpa jejak. Jika melarikan diri daripada kem tahanan ini, keluarga mereka akan bertanggungjawab.

13. Kalendar sendiri

Mereka menggunakan kalendar Juche yang tahun barunya adalah 15 April dalam kalendar antarabangsa. Ianya menandakan hari kelahiran revolusionist Korea Utara iaitu Kim Il Sung.

14. Ada pilihanraya

Mengundi adalah wajib untuk mereka yang menepati syarat. 17 tahun ke atas dan merupakan warganegara yang sah.

Namun semua buat masa ini ‘wajib’ mengundi supreme leader sahaja. Seorang lagi calon cuma hiasan sahaja. Hanya untuk meraikan demokrasi pilihanraya yang memerlukan sekurang kurangnya dua calon bertanding. Ianya dianggap penting untuk menjukkan kepada media antarabangsa bahawa Korea Utara meraikan demokrasi.

Calon yang seorang lagi biasanya orang yang dibayar kerajaan, dan dia pun wajib berkempen untuk Kim Jong Un.

15. Kim Il Sung adalah pemimpin sebenar

Walaupun sekarang kita kena Kim Jong Un, namun dalam setiap subjek di sekolah akan diajar tentang sejarah Kim Il Sung sebagai wira negara mereka. Oleh sebab itu jawatan presiden di negara mereka sentiasa dari kalangan keluarga Kim.

16. Larangan peggunaan ganja

Dilarang mengguna, mengedar atau menggunakan ganja walaupun tanaman tersebut banyak ditanam di tepi tepi jalan. Ianya sekadar untuk hiasan dan ekosistem.

17. Menghina Kim dan keluarganya dikira kesalahan tak boleh dimaafkan

Sebarang bentuk penghinaan atau perbuatan menyinggung perasaan Kim Jong Un dan keluarganya, bermakna, seseorang itu boleh pra tempah keranda siap siap.

18. Dilarang meninggalkan negara

Rakyat mereka hanya boleh meninggalkan negara atas beberapa tujuan seperti sukan dan dihantar oleh kerajaan untuk program tertentu.

Jika tidak, ianya dikira cuba melarikan diri dan hukuman mati menanti.

19. Pelancong berkumpulan

Pelancong hanya boleh melawat secara berkumpulan dan mengikut agensi yang diiktiraf kerajaan. Hanya boleh menggunakan laluan dibenarkan kerajaan dan melawat tempat tertentu sahaja. Jika tidak, maka seseorang itu akan ditahan dan dipenjara.

20. Latihan ketenteraan

Sama seperti Korea Selatan, ianya adalah wajib. Namun Korea Selatan cuma dua tahun dan lelaki sahaja. Korea Utara, 10 tahun untuk lelaki dan 7 tahun untuk wanita.

21. Elektrik ditutup setiap malam

Di Korea Utara, lilin dan lampu minyak tanah masih sangat penting. Ini kerana kerajaan mengawal penggunaan elektrik untuk mengurangkan kos perbelanjaan negara mereka.

Korea Utara turut berdepan dengan krisis sumber tenaga elektrik. Memiliki peralatan elektrik yang kuat guna karan seperti ketuhar gelombang mikro adalah satu kesalahan.\

22. Hanya ada 3 saluran tv

Kesemua saluran ini adalah tv kerajaan dan memainkan agenda kerajaan sahaja terutama sekali mengipas supreme leader.

23. Wanita dilarang memandu

24. Jeans biru diharamkan

Ianya kerana dianggap sebagai simbol kebaratan.

Baca yang lain