Kenali FC Andorra, Kelab Milik Gerard Pique Yang Beraksi Di Liga Sepanyol

Andorra adalah sebuah negara kecil yang terletak di kaki Pergunungan Pyrenees, yang memisahkan Semenanjung Iberia dari benua Eropah.

Di dalam bola sepak antarabangsa, Andorra hanya mula bermain sejak tahun 1994, menjadi ahli gabungan FIFA dan dua tahun kemudian pula mula menyertai UEFA.

Sebuah negara kecil, dengan populasi seramai 77,000 orang, mereka mempunyai liga bola sepak mereka sendiri.

Cuma, ada sebuah pasukan dari negara mereka kini sedang beraksi di dalam saingan Liga Sepanyol.

Kelab tersebut adalah FC Andorra, sebuah pasukan yang berpangkalan di Andorra.

Dalam masa empat tahun, FC Andorra dari hanya sebuah pasukan liga wilayah Catalan Berjaya naik ke Segunda Division, liga kedua dalam hierarki bola sepak Sepanyol.

Bagaimana mereka menempah kejayaan dalam mengharungi cabaran di Sepanyol?

Satu sebab yang menjadi punca utama kepada perkembangan pasukan ini adalah Gerard Pique, pemain skuad Barcelona.

Pada bulan Disember 2018, kelab mula membuka kepada pelaburan daripada perusahaan luar.

Di sini datangnya, Kosmos, sebuah syarikat milik Pique, menjadi pemilik saham terbesar di dalam kelab. Walaupun berhadapan dengan pengurangan gaji di Barcelona, Pique masih mampu untuk memiliki sebuah kelab.

Pique melantik Jaume Nogues sebagai Pengarah Sukan, dan dalam masa 4 tahun dia menandatangani bakat-bakat terbaik dari liga wilayah.

Pada bulan Jun 2019, pasukan berjaya meraih promosi ke Tercera Division (divisyen ketiga) selepas mengharungi 22 perlawanan tanpa kalah dalam semusim.

FC Andorra tahun itu mendapat dua kali promosi liga beberapa minggu kemudian, naik ke Segunda Division B, setelah kelab membayar sebanyak 411,000 Pound untuk menggantikan tempat Reus yang diturunkan ke liga bawah kerana gagal membayar gaji pemain.

Ini meletakkan mereka sebagai pasukan luar pertama yang berjaya menembusi liga bola sepak di bawah kelolaan La Liga.

Eder Sarabia, klon Cruyff di Andorra.

Sebuah kelab boleh merangka bagaimana pelan bisnes mereka tetapi satu perkara yang paling mustahak dan tidak boleh ditinggalkan untuk menarik minat penyokong adalah kejayaan di atas padang.

FC Andorra memilih Eder Sarabia sebagai individu untuk menggalas cabaran pasukan mara ke lebih tinggi. Sarabia merupakan bekas pembantu jurulatih di Barcelona sewaktu dikendalikan oleh Quique Setien.

Cara dan pembawakan Sarabia menarik minat Pique di mana mereka berdua pernah bekerjasama sekali sewaktu di Barcelona.

Pengaruh bola sepak cara Catalan memainkan impak yang besar dalam perkembangan pasukan dan Sarabia adalah individu yang menterjemahkan perkara tersebut.

Falsafahnya di FC Andorra adalah mengawal penguasaan bola, sentiasa berhadapan dengan gol lawan, dan membina serangan dari bawah. Cara itu berhasil musim lepas, membolehkan mereka mengatasi pasukan lain dan berjaya layak ke Segunda Division secara merit.

Jandro Orellana, produk La Masia ke Segunda.

Beberapa minggu lepas FC Andorra telah mengumumkan kemasukan Jandro Orellana, pemain tengah berusia 21 tahun yang ketika itu baru saja dilepaskan oleh Barcelona.

Beberapa tahun lepas, Jandro dilabel sebagai salah satu produk terbaik yang dimilik La Masia, namun kegagalannya memenuhi ekspektasi yang tinggi menyebabkan dia terpinggir dari perancangan masa depan kelab.

Jandro tersenarai dalam 14 orang pemain yang dilepaskan Barcelona bagi memberikan ruang kepada pemain baru.

Ini merupakan pengalaman baru buat Jandro, beraksi bersama sebuah pasukan kecil di dalam saingan Segunda Division, mengikat kontrak untuk 3 tahun sehingga Jun 2025.

FC Andorra mungkin boleh menjadi pasukan untuk Jandro kembali membuktikan kemampuannya, berdasarkan falsafah dan gaya permainan yang diterapkan, mungkin tiada masalah untuk pemain ini menyesuaikan diri ke dalam pasukan.

Dia juga akan menyertai lagi dua orang bekas rakan sepasukannya di La Masia iaitu Dani Morer dan Marti Vila.

Kelab yang semakin membesar.

Salah satu impian Pique adalah untuk mendengar lagu Champions League berkumandang di Estadi Nacional, stadium utama FC Andorra.

Pada awalnya, hanya dalam 30-40 orang saja penonton yang menghadiri perlawanan. Sekarang ia meningkat secara purata dalam 500-900 orang untuk satu perlawanan.

Untuk perlawanan Copa del Rey, penonton pernah mencapai sehingga 1800 orang, jumlah yang sangat besar untuk sebuah kelab yang dalam fasa awal perkembangan.

Musim ini, sejumlah 500 orang penyokong mereka memilik pas bermusim. Berlaku penurunan dari 700 orang sebelum itu berikutan pandemic Covid-19.

Jualan jersi FC Andorra saban tahun menunjukkan peningkatan dan menerima pembelian bukan sahaja dari semenanjung Iberia malah dari seluruh dunia juga. Kelab ini semakin dikenali dan menjadi tarikan pemerhati bola sepak di luar Sepanyol.

Cabaran dan masa depan.

Cabaran terbesar FC Andorra adalah untuk menyamai prestasi kejayaan di luar padang ketika beraksi di atas padang.

Bagaimana mereka akan menterjemahkan hal seperti itu?

Selari dengan menggunakan blueprint DNA Barcelona, ia menunjukkan peningkatan yang baik untuk pasukan. Setidak-tidaknya, mereka sudah ada satu cara untuk dimainkan apabila beraksi. Apa yang penting, pemain perlu menyesuaikan diri dengan system yang ingin dibawa oleh kelab.

Penambahan penyokong dan peminat di Andorra juga memainkan peranan dalam terus menjadi sebuah pasukan yang lebih berdaya saing, dengan kelab juga melakukan program dua hala bersama Gimnastic de Manresa, sebuah kelab tempatan di Catalonia.

Gimnastic de Manresa akan menjadi pusat untuk menarik lebih ramai lagi pemain berbakat dari Catalonia dan Andorra berikutan lokasinya yang betul-betul berada di antara kedua-dua bandar tersebut.

Masih panjang lagi gunung yang perlu didaki FC Andorra, namun tidak mustahil impian Pique untuk mendengar lagu Champions League di Estadi Nacional berkumandang suatu hari nanti.

Rujukan:

Allegue, J. L. (2022, August 14). Retrieved August 17, 2022, from https://www.marca.com/primera-plana/2022/08/14/62f6310146163fc9528b459d.html

Baca yang lain

Xavi Nekad Tinggalkan Barca

Xavi Hernandez menyatakan bahawa dia sudah nekad mahu meninggalkan Barcelona pada akhir musim ini. Xavi beberapa bulan lalu mengesahkan dia sudah mencapai