Pertikaian tempat letak kereta boleh menjadi sangat rumit serta menyusahkan serta mahal bagi sesetengah orang.
Seorang lelaki di UK didenda kerana meletakkan keretanya di tepi rumahnya, walaupun menggunakan tempat yang sama untuk memakir keretanya sejak 22 tahun lalu.
Mark Shrimpton, 62, telah meninggalkan kenderaannya di luar rumahnya dekat Mouswald, Scotland, ketika dia membawa anjingnya berjalan-jalan pada 7 pagi. Tetapi sekembalinya dia daripada riadah itu, dia mendapati surat saman parkir ditampal pada cermin keretanya, lapor Metro UK.
Shrimpton telah meletak kenderaan di tempat yang sama selama 22 tahun. Dan tak pernah disaman walaupun polis dan penguatkuasa lalu lalang di situ. Lagipun menurutnya, keretanya diletakkan tanpa menghalang lalu lintas jalanraya desa mereka.
Shrimpton berkata dia lebih suka untuk ‘bergaduh’ hal saman itu itu daripada membayarnya dan berhasrat untuk membawa perkara ke mahkamah.
“Tiket saman itu mengatakan saya telah meletakkan kenderaan saya di jalan yang tidak berlampu tanpa lampu pada waktu gelap. Itu akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Tetapi saya telah meletak kereta di tempat yang sama selama 22 tahun tanpa masalah.”
“Saya selalu parkir di situ kerana isteri dan anak perempuan saya meletakkan kereta di tempat parkir di rumah dan tiada ruang untuk saya parkir,” katanya dipetik dari Metro.
“Saya tinggal di luar Mouswald, kawasan antara kampung dan A75 dan ia adalah satu-satunya rumah di jalan itu. Ia adalah jalan desa yang digunakan oleh kapal tangki susu dan HGV yang tidak pernah ada sebarang masalah.”
“Polis lalu di depan rumah saya sekurang-kurangnya dua kali setiap hari dalam perjalanan mereka berulang alik dari melakukan pemeriksaan kelajuan pada A75 dan ini adalah kali pertama saya mendapat tiket saman parkir,” tambahnya.
Polis telah memberitahu Shrimpton surat saman itu tidak boleh dibatalkan dan dia berkata dia sanggup pergi ke mahkamah untuk melawannya. Katanya, dia bimbang ia boleh menjadi perkara biasa dan dia boleh didenda setiap hari sepanjang hayatnya. Shrimpton berkata semua tekanan ini mungkin boleh dielakkan jika polis menggunakan sedikit akal [common sense] dalam menilai tindakan mereka.
“Mungkin jika polis mengetuk pintu saya sebelum mengeluarkan surat saman ini, ia boleh diselesaikan tanpa tiket [surat saman]. Saya boleh memberitahu mereka saya telah meletakkan kereta di sana selama 22 tahun dan walaupun kereta polis lalu setiap hari, ia tidak pernah menjadi masalah. sebelum ini,” katanya lagi.
Jurucakap Polis Scotland mempertahankan tindakan pegawai mereka. Jurucakap itu berkata: “Pegawai di Dumfries dan Galloway boleh menguatkuasakan undang-undang berhubung dengan tempat letak kereta yang dianggap menyebabkan halangan atau berbahaya, dalam beberapa keadaan lain; termasuk meletakkan kenderaan di jalanray dalam keadaan tertentu pada waktu tertentu, seperti kegelapan tanpa menunjukkan lampu atau pemantul yang dikehendaki oleh undang-undang.”
“Setiap insiden dinilai berdasarkan meritnya sendiri dan jika dianggap perlukan hukuman bersyarat atau mandatori, boleh dikeluarkan bergantung kepada keadaan dan kesalahan,” tambah mereka lagi.