Nik Sharif Haseefy Lahir Dari Kesilapan Percaturan Dollah Salleh

Tanggal 25 Jun 2019, seluruh peminat bola sepak Malaysia melihat percaturan Dollah Salleh gagal teruk. Pada ketika itu beliau merehatkan keseluruhan pemain kesebelasan utamanya kecuali Sadil Ramdani berdepan Selangor. Perlawanan Liga Super yang ke-18 itu menyaksikan Pahang dibelasah 2-5 di Shah Alam.

Percaturan itu dilakukan kerana Pahang mahu menyimpan kekuatan pasukannya untuk bertemu Perak pada 29 Jun, separuh akhir Piala FA pusingan ke-2. Malangnya Pahang tewas 0-3 dan Perak memotong kelebihan mereka yang menang 3-1 di Darul Makmur.

Kisah disebalik percaturan ini lahirlah seorang pemain bernama Nik Sharif Haseefy Lazim. Pemain berusia 22 tahun ketika itu mendapat peluang pertama bermain di Liga Super bertindak sebagai penyerang bersama Kogileswaran Raj Mohana.

Selepas itu beliau mendapat 8 minit terakhir ketika Pahang mengikat Terengganu pada 12 Julai dan kemudiannya tersenarai 2 kali dibarisan simpanan. Tidak kira percaturan itu berjaya atau gagal, peluang Nik Sharif muncul di situasi itu.

Nama tidak terus muncul pada musim 2020. Beberapa masalah yang dihadapi oleh Pahang membuka sekali lagi peluang kepadanya. Mamadou Sumareh hanya terlibat dengan 3 perlawanan bersama pasukan iaitu pada LS2, LS3 dan LS4. Selepas itu masalahnya mula muncul didada akhbar dan dia keluar dari pasukan menyertai Police Tero.

Ketika Mamadao Sumareh bermasalah, posisi sayap kanan diisi oleh Gopinathan Ramachandran atau nama islamnya Gopi Rizqi. Bagaimanapun prestasi pemain ini tidak terlalu mengagumkan, zaman kemuncaknya telah berlalu.

Selepas LS6 pemain sayap berusia 31 tahun itu diketepikan, Nik Sharif diberi peluang. Nik Sharif tidak mengecewakan apabila berjaya menyumbangkan jaringan dalam kesebelasan ke-2 musim itu. Seterusnya dia menambah 2 lagi jaringan dan merekod 3 gol dalam 3 perlawanan berturut-turut.

Nik Sharif menamatkan musim pendek bola sepak Malaysia dengan 6 kali turun dalam kesebelasan utama dan 4 kali dimasukan dari bangku simpanan. Bekas pemain Presiden Pahang ini telah tampil 12 kali sejak percaturan gagal Dollah Salleh dulu.

Selepas tewas kepada Kedah pada Jumaat lepas dengan keputusan 2-3, pemain ini dilihat perlu dikekalkan oleh pasukan, Nik Sharif memiliki penyudah lebih tajam berbanding pemain muda lain dan dia bertenaga dalam permainan.

Adakah pemain ini akan diberi ruang yang lebih luas pada musim hadapan? Sekurang-kurang memberi saingan kepada pemain yang lebih lama mendapat peluang seperti Zuhair Aizat, Faisal Halim dan Shahrul Nizam Nadzir di posisi sayap.

Baca yang lain