Penyokong Terkejut TMJ Dedahkan Kedah Ada Hutang Gaji Pemain

Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) yang mewakili 23 kelab penyokong Kedah menyatakan mereka terkejut mendengar pasukan kesayangan mereka itu ada tunggakan gaji.

Mereka mendengar perkara itu daripada kenyataan oleh pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menerusi laman sosial Johor Southern Tigers semalam.

TMJ semalam menyatakan sokongan beliau ke atas PFAM dalam isu syarat khas diletakkan mereka jika pasukan mahu memotong gaji pemain ketika covid-19.

Dan dalam kenyataan yang sama, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Kedah sebagai antara contoh pasukan yang masih ada tunggakan gaji pemain.

TMJ berkata: “Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19.”

“Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu.”

“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.”

“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.”

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.”

“Kebanyakan pasukan bergantung 100% peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji.”

“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri.”

Kelab Penyokong Bolasepak Kedah memandang serius akan perkara ini. Mereka mahu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mememberikan penjelasan di atas komen TMJ itu.

Adakah ia benar seperti yang dikatakan oleh TMJ?

Mereka juga kecewa kerana penyokong Kedah sendiri tak tahu akan masalah tersebut, sebaliknya orang luar yang lebih dahulu tahu.

Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri menegaskan, jika benar ada tunggakan gaji, ia pasti akan menambah lebih kesulitan kepada para pemain.

Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata: “Ini memberi kejutan kepada kami sebagai penyokong setia Kedah, agak mengejutkan juga kerana pihak luar lebih cepat mengetahui keadaan semasa dalam pasukan Kedah.”

“Kami amat berharap perkara ini dipandang serius KFA dalam menjaga imej serta reputasi pasukan yang pernah membawa banyak kejayaan dalam Liga Malaysia.”

Mereka juga menggesa kesemua pasukan yang ada tunggakan gaji terutamanya Kedah segera memberika maklum balas – sekiranya maklumat tersebut tidak tepat.

“Pada masa yang sama kami juga mahukan kepastian terhadap perkara ini kerana sebagai penyokong kami juga mahu tahu dari sumber mana perkara ini diperoleh bagi memastikan perkara ini tepat.”

“Hebahan secara terbuka ini boleh mengundang pelbagai reaksi yang mungkin mengeruhkan keadaan berbanding sebaliknya dan kami berharap perkara tidak memberi kesan negatif dalam usaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya lagi.

Baca yang lain

Faisal Halim Melecur Tahap 4

Faisal Halim dilaporkan mengalami kecederaan melecur yang serius pada tahap 4. Sebelum ini Faisal Halim berdepan detik ngeri apabila disimbah dengan asid