Senarai Penggusti Legenda Yang Bakal Hadiri Acara Persaraan The Undertaker

The Undertaker secara rasminya akan menamatkan karier gemilangnya bersama WWE di acara Survivor Series nanti.

Pada hari acara PPV Survivor Series tersebut juga, WWE sudah merancang acara meriah untuk memberi penghormatan kepada persaraan The Undertaker itu.

Savio Vega telah menjadi tetamu undangan dalam The Wrestling Inc. Daily podcast bersama Nick Hausman, dan bekas bintang WWE itu telah mengesahkan bahawa beliau akan hadir ke acara Survivor Series dan turut serta dalam upacara persaraan bersama The Undertaker.

Vega mendedahkan bahawa beliau menerima panggilan pada Jumaat lalu dan telah ditanya sama ada berminat atau tidak untuk ambil bahagian dalam acara persaraan tersebut.

Anggota dari kumpulan The Bone Street Krew itu merupakan salah seorang sahabat karib the Undertaker dan beliau pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk turut sama dalam hari bersejarah sahabatnya itu.

“Ya, saya ada menerima panggilan pada hari Jumaat minggu lalu sebelum saya menaiki pesawat menuju ke New York City, dan saya ditanya adakah saya berminat untuk terlibat dalam hari bersejarah untuk Karier Mark Callaway (The Undertaker).”

“Mereka mahu saya di sana sebagai kawan, penggusti dan sebagai anggota BSK, dan ketika mereka hubungi saya untuk bertanya saya mahu terlibat atau tidak, sudah tentu saya mahu, kenapa tidak? Dia sahabat saya. Dia seorang yang sangat baik. Jadi pada 21 hari bulan nanti, saya akan terbang ke Orlando dan saya akan turut serta di acara Survivor Series keesokan harinya.”

Ketika ditanya tentang tugasnya di acara Survivor Series nanti, Vega menjawab beliau akan ada bersama rakan BSK yang lain di sana untuk beri penghormatan kepada Undertaker sahaja.

Vega turut mendedahkan beberapa nama anggota BSK lain yang akan turut serta dalam acara tersebut nanti seperti Rikishi, The Godwinns dan The Godfather dan beliau turut tidak sabar untuk menikmati detik waktu bersama bekas rakan sekumpulannya itu.

Savio Vega turut memberi pandangan menarik tentang beberapa isu ketika dalam temu bual tersebut seperti isu persaraan Undertaker, MLW, berkaitan anggota BSK dan banyak lagi.

Savio Vega bukanlah satu-satunya penggusti bersama anggota BSK yang akan membuat penampilan di acara perpisahan bersama the Undertaker nanti.

WWE telah menyenaraikan nama beberapa legenda untuk turut sama dalam acara tersebut, yang mana ianya akan menjadi antara acara perpisahan paling bersejarah dalam lipatan sejarah WWE.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa, Kane turut disenaraikan untuk berada dalam acara tersebut pada 22 November nanti.

Ianya tidak mengejutkan kerana seperti semua sedia maklum, Kane merupakan pemegang watak adik kepada The Undertaker dalam WWE.

Majlis perpisahan The Undertaker di acara Survivor Series nanti akan menjadi acara paling diingati dalam sejarah dan para peminat pastinya tidak sabar untuk menyaksikan kejutan-kejutan yang disediakan oleh WWE.

Baca yang lain