TERKINI: Manchester United Bercakap Dengan Ejen Depay, Pertimbangkan Aubameyang, Morata Dan Icardi

Koresponden yang dianggap tepercaya untuk berita Manchester United, Laurie Whitwell melaporkan bahawa Manchester United dalam proses berunding dengan Memphis Depay untuk kepulangan semula yang tidak dijangka ke Old Trafford.

Memphis Depay sebelum ini sudah mencapai kesepakatan dengan Barcelona. Di mana dia akan dibenarkan pergi secara percuma jika dia mendapat kelab yang dia mahu sertai. Namun jika tidak, Barcelona akan terus mengekalkannya bersama mereka.

Barca tidak dapat membayar pampasan EUR20 juta untuk pemain itu kerana faktor masalah kewangan kelab itu.

Depay sudah dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk Juventus, Lyon dan kini Manchester United.

Ejen Memphis Depay dilaporkan telah menghubungi Manchester United berbincang tentang kemungkinan perpindahan pemain itu ke Man United dari FC Barcelona.

Menurut Laurie Whitwell (The Athletic), United terdesak untuk mendapatkan penyerang pada jendela ini. Dan nama Depay telah dibincangkan di kalangan hierarki.

Pemain Belanda itu dijangka menyertai Juventus dengan perjanjian dua tahun, tetapi ejennya telah bercakap dengan United sebagai satu lagi pilihan yang dianggap bagus.

Selepas meninggalkan United pada 2017, Depay memulakan semula kerjayanya di Lyon dan kemudian menyertai Barcelona dan membuktikan dirinya sebagai salah satu penyerang paling dinamik di eropah.

Dia dianggap flop pada karier awalnya di Man United. Namun ramai percaya bahawa Depay sudah jauh berubah dan dia mungkin boleh menjadi pemain yang luar biasa di bawah kendalian Erik Ten Hag. Depay boleh bermain di kesemua posisi serangan termasuk peranan false no.9.

Barcelona sedang berusaha menjual beberapa pemain mereka untuk mengumpul hasil yang mencukupi bagi mendaftarkan kesemua pemain mereka dan membeli beberapa pemain lagi.

Pemain berusia 28 tahun akan menjadi pilihan yang menarik untuk Ten Hag. Dia juga dikenali sebagai peminat tegar Manchester United.

Dengan rekod kecederaan Antony Martial yang agak membimbangkan, Depay akan menjadi alternatif yang baik.

United sedang mencari untuk menambah sekurang kurangnya seorang lagi pemain penyerang selain Depay. Sebelum ini mereka berunding untuk mendapatkan Marko Arnautovic. Namun rundingan gagal.

Kini Man United mempertimbangkan beberapa lagi nama. Ini termasuk Mauro Icardi dan Alvaro Morata.

Ejen kepada Mauro Icardi, Wanda Nara dilaporkan telah menawarkan pemain itu kepada Man United.

Sementara itu, Atletico Madrid berusaha untuk menjual Alvaro Morata untuk membantu kewangan kelab mereka.

Morata sebelum ini pernah dikaitkan dengan Manchester United namun gagal dan akhirnya ke Chelsea. Sebaliknya Man United menandatangani Romelu Lukaku pada masa itu.

Agak menarik kerana Conte mendedahkan bahawa dia sebenarnya mahukan Lukaku, tetapi pemain itu memilih ke Manchester United. Membuatkan dia terpaksa membeli Morata.

Sementara itu Jose Mourinho awalnya mahukan Alvaro Morata, namun akhirnya dia mendapatkan Romelu Lukaku kerana gagal mencapai kesepakatan dengan pemain itu pada masa itu.

Satu lagi nama yang mulai dibincangkan oleh hierarki tertinggi di Manchester United ialah Pierre Emerick Aubameyang. Pemain itu turut dikaitkan dengan Chelsea pada ketika ini.

Baca yang lain