Tindakan Salah Pujuk Hakimi Yang Menangis Mendapat Pujian

Mohamed Salah sudah melalui banyak pengalaman dalam bola sepak terutama sekali detik sukar dan tangisan kekecewaan sepanjang kariernya.

Lalu bintang utama Liverpool itu sempat meluangkan masanya untuk menenangkan lawannya yang menangis kekecewaan selepas tewas di peringkat suku akhir.

Mesir berjaya menewaskan satu lagi pasukan pilihan iaitu Maghribi dalam aksi suku akhir Piala AFCON 2021.

Mohamed Salah sekali lagi memainkan peranan pentingnya dalam membantu Mesir menang 2-1 ke atas Maghribi dan berjaya merangkul satu lagi anugerah Man Of The Match. Ini selepas Salah menjaringkan gol dan membekalkan assist kepada rakannya.

Sebelum ini Salah menjaringkan penalti penentuan untuk menyingkirkan Ivory Coast.

Mesir sekali lagi bertarung untuk 120 minit di atas padang selepas terikat sepanjang 90 minit. Sebelum ini mereka bertarung sehingga ke penentuan penalti dalam aksi suku akhir.

Boufal meletakkan Maghribi 1 gol di hadapan seawal minit ke-6. Namun Mohamed Salah menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Pada masa ekstra 30 minit, Mesir mendapat gol kemenangan menerusi Mohamed Trezeguet selepas menerima bola daripada Salah yang berlari pantas di wing kanan.

Maghribi tidak berputus asa. Mereka mencipta beberapa siri peluang untuk menyamakan kedudukan. Namun Mesir bertahan dengan sangat baik.

Selepas tamat perlawanan, pemain pemain Mesir kegirangan meraikan kejayaan mereka ke separuh akhir. Mo Salah melihat Achraf Hakimi yang cemerlang sepanjang pertandingan, meratapi kekalahan tersebut. Mo Salah pastinya faham perasaan apabila gagal membantu negaranya mara lebih jauh.

Lalu Salah meninggalkan seketika pesta keraian bersama rakannya dan memujuk hati Achraf Hakimi yang terduduk lesu itu.

Tindakan winger prolifik, Mohamed Salah itu benar benar membuatkan peminat bola sepak ramai memberikan tabik hormat kepadanya. Mereka juga menganggap Salah telah menunjukkan tauladan yang sangat baik sebagai pemain bola sepak.

Kedua dua pemain merupakan bintang utama negara mereka. Malah sebelum ini, Achraf Hakimi turut memuat naik gambar beliau dengan Salah sebaik sahaja kedua dua pasukan mara ke pusingan kalah mati.

Mohamed Salah sebelum ini menyatakan bahawa Piala AFCON merupakan piala yang paling beliau idamkan. Dan beliau melabel piala itu akan lebih bermakna daripada mana mana piala dengan kelab atau individu yang dimenanginya selama ini.

Salah menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau cuba memberikan sesuatu kepada negaranya yang merupakan tanah air yang dia cintai selama ini.

Bukan itu sahaja, pemain sayap Liverpool itu, Mo Salah juga bertekad mahu menebus kecewaan pada final 2017 yang lalu. Di mana ketika itu mereka tewas di tangan pasukan tuan rumah pada edisi kali ini iaitu Cameroon.

Mesir akan berentap dengan Cameroon dalam aksi separuh akhir. Manakala dalam satu lagi separuh akhir, Senegal akan berdepan dengan Burkina Faso.

Aksi separuh akhir akan berlangsung pada 3 dan 4 Februari ini.

Mo Salah merupakan salah seorang pemain paling berpengaruh di dunia terutama sekali di Mesir. Beliau menjadi ikon bola sepak negaranya.

Mo Salah adalah pemain penting yang membantu Liverpool menikmati banyak kejayaan sejak bersama dengan The Reds.

Cuma kini, Liverpool masih berusaha untuk mengikat pemain itu dengan kontrak baharu. Buat masa ini, Salah masih belum mempersetujui kontrak baharunya dengan Liverpool.

Salah pernah menyatakan bahawa beliau mahu terus kekal di Liverpool dan menyerahkan kepada kelab itu untuk menilai permintaannya kerana menurutnya dia bukan meminta benda benda tak masuk akal.

Ada juga laporan menyatakan bahawa Salah meminta gaji sehingga GBP500k seminggu di Anfield. Jika itu dimeterai, Salah akan menjadi pemain yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liverpool.

Baca yang lain

Tuchel Tuduh Pengadil Memihak Arsenal

Thomas Tuchel menuduh pengadil sebagai berat sebelah memihak kepada Arsenal. Ini selepas beberapa keputusan pengadil dianggap memihak Arsenal dan tidak kepada Bayern.