Tulis Wayang Kulit Asal Malaysia: Adidas Minta Ampun Selepas Dikecam Netizen Indonesia

Adidas Singapura tampil dengan permohonan maaf rasmi kerana menyebut Wayang Kulit dari Malaysia.

Adidas sebelum ini mempromosi kasut UltraBOOST dengan rekaan wayang kulit. AdidasSG dalam kenyataannya bertulis:

“Meraikan warisan budaya Malaysia melalui kaca mata @JAEMYC, dalam pek kota DNA UltraBOOST seterusnya,”

“Reka bentuk ini bercakap mengenai penghormatan kepada wayang kulit, bahagian penting dalam identiti warisan Malaysia dengan menggabungkan unsur wayang kulit dengan palet warna moden, dalam pendekatan lama yang memenuhi pendekatan baharu di UltraBOOST DNA.”

“Pakej ini akan dilancarkan pada 11 November 2021, ingat tarikhnya.”

Netizen Indonesia marah dengan tindakan Adidas yang menulis wayang kulit berasal dari Malaysia. Mereka mengklaim bahawa ianya kebudayaan asal Indonesia.

Mereka mahu Adidas tampil dengan permohonan maaf. Ini kerana dalam laman rasmi UNESCO sendiri, wayang kulit ditulis asal Indonesia, menurut mereka lagi.

Ada juga yang mempersoalkan, kenapa Adidas tidak mengambil pereka dari Indonesia, jika mereka mahu menghasilkan corak wayang kulit pada kasut mereka. Sedangkan di Indonesia ramai yang berbakat.

Tindakan marah daripada netizen Indonesia itu membuatkan Adidas akhirnya akur.

Adidas SG mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tersilap menyatakan wayang kulit asal dari Malaysia. Adidas SG berkata:

“Kepada semua. terima kasih kerana menghubungi kami. Walaupun Wayang Kulit adalah sebahagian daripada kebudayaan signifikan Malaysia, kami seharusnya menggariskan bahawa ianya berasa dari Indonesia dalam hantaran kami.”

Adidas akhirnya mengakui Wayang Kulit yang digunakan dalam rekaan kasut UltraBoost edisi khas yang baru dilancarkan adalah asal Indonesia.

Permohonan maaf Adidas Singapore itu disampaikan menerusi muat naik di akaun Instagram Story mereka.

“Kami dengan tulus memohon maaf atas sebarang kesalahan yang tidak disengajakan yang mungkin telah dilakukan, dan kini telah mengubah hantaran kami,” tulis Adidas Singapore.

“Untuk mengelakkan keraguan, jenama mahupun artis tidak berhasrat untuk menuntut bentuk seni budaya dari Indonesia,” tulis Adidas Singapura.

“Kami berterima kasih sekali lagi di atas sokongan ke atas jenama kami untuk meraikan kebudayaan unik yang turut menjadi identiti kami.”

 

Baca yang lain