Walaupun Kewangan Tak Stabil, Barca Mahu Dapatkan Azpilicueta Dengan Christensen Dari Chelsea

Walaupun situasi kewangan mereka masih tenat, Barcelona sudah bercadang untuk mendapatkan 2 bintang Chelsea iaitu Cesar Azpilicueta dan juga Andreas Christensen.

Azpilicueta, 32, akan tamat kontrak pada penghujung musim dan kini boleh berunding dengan kelab lain sebagai pemain ejen bebas.

Menurut wartawan Sepanyol Jose Alvarez Haya, Barcelona kini sedang mengadakan perbincangan dengan bek kanan itu dan telah menawarkannya perjanjian sehingga 2024.

Menurut laporan itu, Azpilicueta masih belum memaklumkan kepada Chelsea tentang hasratnya untuk menyertai Barcelona pada penghujung musim ini.

Pemain antarabangsa Sepanyol, Azpilicueta telah bersama Chelsea sejak menyertai The Blues dari Marseille pada 2012.

Kapten Chelsea tersebut telah membuat 456 penampilan untuk kelab itu, memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara semasa berada di London barat itu.

Chelsea sebenarnya sudah pun ada pengganti untuk Azpilicueta iaitu Reece James. Namun versatiliti Azpilicueta membuatkan Tuchel mahukan pemain itu terus kekal. Azpi boleh bermain di kesemua posisi di pertahanan.

Sementara itu, wartawan Itali, Fabrizio Romano mendakwa Barcelona boleh menggunakan perpindahan itu untuk mendapatkan bek tengah Chelsea Christensen. Ini kerana mereka yakin Azpilicueta akan memujuk Christensen menyertainya di Nou Camp.

Pemain antarabangsa Denmark itu juga akan tamat kontrak pada penghujung musim ini. Christensen dilaporkan telah menghentikan rundingan untuk perjanjian baharu di Stamford Bridge.

Tidak pasti sama ada pemain itu akan membuka semula rundingan dengan Chelsea. Tetapi Tuchel yakin Christensen akan memberikan komitmennya kepada Chelsea kerana pemain itu sangat cintakan kelab tersebut.

Bayern Munich juga telah dikaitkan dengan Christensen, yang telah membuat 148 penampilan untuk Chelsea sejak menjadi graduan dari akademi Chelsea pada 2014. Christensen dilaporkan meminta EUR10 juta semusim.

Bercakap pada bulan lalu, ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel menggesa Christensen untuk memberikan komitmen masa depannya kepada kelab itu.

“Kami menunggu sejak sekian lama untuk pengesahan tersebut,” kata Tuchel.

“Terpulang lah kepada Andreas untuk melakukan apa yang dia mahu lakukan bagaimana dia bertindak di atas padang, dia perlu bertindak sekarang di luar padang, dan bercakap mengenainya. Kerana dia pernah memberitahu kami bahawa dia sangat sayang kepada Chelsea.”

“Dia memberitahu kami bahawa dia mahu kekal dan menjadi sebahagian daripada skuad besar kami, kerana dia adalah sebahagian penting daripada kelab besar ini, dan saya fikir dia sangat layak mendapatkan kontrak baru kerana urusannya di sini masih belum selesai.”

Barcelona memantau rapat situasi dua pemain tersebut. Namun Barca pastinya perlu memikirkan soal FFP. Sebelum ini mereka turut mendapatkan beberapa pemain dengan harga murah dan percuma. Tetapi kemudian mereka kesukaran untuk mendaftarkan mereka.

Misalnya Eric Garcia, dan Kun Aguero yang ditandatangani secara percuma. Barcelona bergelut untuk mendaftarkan dua pemain tersebut. Terpaksa meminta pemain lain setuju dengan pemotongan gaji ataupun pergi ke kelab lain untuk mengosongkan sedikit kuota.

Pemergian Griezmann telah menjadi kunci penting kepada pendaftaran pemain seperti Depay, Aguero dan Eric Garcia.

Tetapi kini Barcelona sudah mengosongkan gaji Aguero yang bersara. Coutinhon dan Griezmann pada hakikatnya masih pemain mereka kerana dua pemain itu pergi secara pinjaman.

Tetapi Barca sudah pastinya akan kehilangan Dembele musim hadapan.

Walaupun pemain seperti Azpi dan Christensen boleh ditandatangani secara percuma, namun dalam situasi Barca sukar dijelaskan kerana isu bebanan gaji yang tinggi.

Itulah yang membuatkan mereka terpaksa kehilangan legenda kelab mereka, Lionel Messi yang tidak dapat didaftarkan, walaupun dia ketika itu berstatus ejen bebas.

Baca yang lain