16 Tahun Bersama Real Madrid, Kemana Destinasi Baru Sergio Ramos?

Real Madrid mengesahkan rundingan mengenai kontrak baharu kepada Sergio Ramos sudah berakhir. Tanpa Ramos, Real Madrid akan melihat semula peranan dan kontrak Raphael Varane untuk menggantikan tempat yang akan ditinggal Ramos. Kontrak Varane akan tamat pada hujung musim depan (2022).

Sebelum ini Real Madrid telah menandatangi David Alaba secara percuma dari Bayern Munich selepas kontrak pemain Austria itu tamat. Real Madrid melihat Varane dan Alaba akan menjadi tunjang pasukan di bahagian pertahanan tengah pasukan.

Varane kini bersama skuad kebangsaan Perancis dalam kempen Piala Eropah, apa yang mahu dilakukan oleh kelab, melihat semula nilai semasa pemain itu. Pada masa sekarang Varane menerima £5.1 juta (€6 juta) semusim.

Varane berstatus pemain kesebelasan utama Real Madrid malahan dia juga merupakan pemain utama Perancis yang memenangi Piala Dunia 2018. Potensi Perancis dalam Piala Eropah 2020 juga tinggi.

Pada usia 28 tahun, sebarang kontrak baru yang bakal diterima mungkin merupakan kontrak terakhir dalam kariernya. Pada masa sama, Varane berada dalam radar Manchester United dan Paris Saint Germain.

Real Madrid pasti akan memberi tawaran baru yang menarik kepada pemain ini selepas Piala Eropah berakhir atau terlepas secara percuma pada hujung musim hadapan.

RAMOS UCAP SELAMAT TINGGAL

Sergio Ramos sudah memahat namanya sebagai salah seorang pemain legenda di Real Madrid. Pemain ini menyertai Real Madrid dari Sevilla di usia 19 tahun pada tahun 2005. Ramos bermula dengan posisi pertahanan kanan sebelum diubah menjadi salah seorang pertahanan tengah terbaik dunia.

Ramos menyertai kelab itu ketika Real Madrid berada di penghujung era pertama Galaticos yang dibarisi Zinedine Zidane, Ronaldo dan David Beckham.

Kemudian dia bersama era ke-2 bersama Kaka, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo. Jaringan penyamaan Ramos membolehkan Real Madrid memenangi Champions League 2014 dan dia juga tampil bersama Sepanyol yang menjuarai Piala Eropah 2008, Piala Dunia 2010 dan Piala Eropah 2012.

Pada usia 35 tahun Real Madrid tidak berminat memberikannya kontrak 2 tahun seperti yang diminta olehnya. Ia menjadi sebab mengapa rundingan kontraknya gagal dimuktamadkan.

“Sudah tiba masanya, sesuatu yang sukar dalam hidup saya, masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Real Madrid,

“Terima kasih kepada Real Madrid. Saya sentiasa meletakkan kelab ini dihati saya,

“Ia merupakan satu tempat indah dan unik dalam hidup saya dan sentiasa membuka ruang pada masa hadapan dimana saya betul-betul mahu menunjukkan tahap terbaik saya untuk beberapa tahun,

“Terima kasih banyak-banyak. Ini bukan sekadar ucapan selamat tinggal. Kita akan berjumpa lagi, saya akan kembali.” kata Ramos dalam majlis perpisahannya

Baca juga

Yusoff Mahadi: Malaysia Tidak Capai Sasaran

RAMOS BERI ISYARAT PASUKAN BARU

Selepas sah tidak bersama Real Madrid, Ramos memberi isyarat dia tidak akan kembali ke kelab asalnya Sevilla. Ramos keluar dari Real Madrid selepas 16 tahun bersama kelab itu.

Ramos mengatakan dia cuba untuk menerima tawaran kontrak 1 tahun yang diberikan oleh kelab, namun dia diberitahu ‘sudah terlambat’.

Sehingga sekarang, kelab manakah yang menjadi destinasi pemain ini masih belum diketahui. Cuma Ramos mengesahkan dia tidak akan kembali ke Sevilla atau menyertai musuh Real Madrid iaitu Barcelona.

“Saya tidak akan menyertai Sevilla, ia tidak pernah menjadi satu pilihan,

“Barcelona? Tidak mungkin. Kamu tidak akan melihat saya di Barca. Saya tidak tahu lagi pasukan mana saya akan sertai.

“Apabila saya sudah tahu saya akan menjadi orang pertama mengumumkannya. Sekarang bukan masanya lagi untuk bercakap tentang masa depan saya.”

Merujuk laporan Givemesport gaji Ramos di Real Madrid adalah £312 ribu seminggu. Pasukan manakah mampu menawarkan gaji sebanyak itu untuk pemain berusia 35 tahun yang mengalami banyak kecederaan pada musim sebelumnya.

Dengan isyarat tidak akan kembali ke Sevilla atau menyertai Barcelona adakah Ramos akan keluar dari La Liga untuk kali pertama sepanjang kariernya.

Paris Saint Germain antara pasukan yang mempunyai wang yang banyak untuk mendapatkan mana-mana pemain yang dikehendakinya lebih-lebih lagi jika berstatus percuma.

Baca yang lain